Skip to main content

Program Gotong-Royong Kenduri Korban Suk Perak Tahun 2023.

Petugas KESEDAR bergotong royong dalam menguruskan ibadah korban tahun ini.

IPOH, 3 Julai 2023 – Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak melalui Kelab Seri Perak Darul Ridzuan (KESEDAR) telah mengadakan Program Gotong-Royong Kenduri Korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di parkir bas, Bangunan Perak Darul Ridzuan, pagi ini.

Seramai 28 orang ahli KESEDAR telah dipilih sebagai peserta korban bagi tahun ini.

Pada tahun ini, sebanyak 4 ekor lembu telah dikorbankan. 2 ekor daripada lembu tersebut telah disumbangkan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad manakala 2 ekor lagi adalah sumbangan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak merangkap Yang Dipertua KESEDAR, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim.

Kedua-dua penyumbang turut sama hadir bagi memeriahkan program tersebut.

Gotong royong itu telah bermula seawal jam 8.30 pagi yang disertai oleh 200 orang warga kerja SUK Perak. Antara tugasan yang telah dilakukan adalah kerja-kerja melapah, membungkus, memasak pelbagai hidangan seperti Daging Masak Hitam, Sup Tulang dan Sambal Paru, Lampung dan Hati.

Terdahulu, proses penyembelihan lembu-lembu tersebut telah dilakukan di A. Karim Enterprise, Pengkalan Baru, Pantai Remis pada 1 Julai, Sabtu yang lepas dan di Rumah Sembelihan Ipoh pada 2 Julai, Ahad yang lepas.

Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin dan YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman merangkap Naib Yang Dipertua KESEDAR.

Usai kerja-kerja yang dilakukan, daging korban tersebut telah diagihkan kepada warga golongan sasar dan para petugas.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 30 Mei 2025, 05:40:16.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.