DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berangkat Ke Majlis Santapan Beradat Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Perak Darul Ridzuan.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan turut berangkat bersama DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan.
IPOH, 6 Julai 2023- DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Beradat Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Perak Darul Ridzuan bersama kira-kira 350 orang pegawai perkhidmatan awam negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, malam ini.
Turut berangkat DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa bersama DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima Binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah bersama DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad bersama isteri, YABhg. Datin Seri Aezer Binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Rasiah Binti Mohd Noor; Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir Bin Dato’ Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
YB Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim berkata dalam sembah ucapannya, majlis ini dianjurkan dalam semangat mahu memperkukuhkan semangat dan ikrar kesetiaan warga perkhidmatan awam yang telah menerima amanah dan tanggungjawab sebagai jentera pelaksana kepada pelbagai dasar dan program pembangunan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
“Semangat kesetiaan dan daya usaha yang tinggi akan sentiasa disemarakkan bagi memastikan negeri Perak, akan sentiasa maju dan penduduknya hidup dalam keadaan sejahtera dan suasana harmoni,” katanya ketika menyampaikan sembah ucapan di majlis berkenaan.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.