DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Titah Umat Islam Perlu Sedia Hijrah Minda, Budaya.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Kemuncak Ma'al Hijrah Negeri Perak.
IPOH, 19 Julai 2023- DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bertitah umat Islam hendaklah bersedia, malah wajib melakukan penghijrahan minda dan penghijrahan budaya agar berupaya memahami serta mentafsirkan isu-isu semasa daripada pelbagai dimensi serta bertenaga untuk menangani selain menguasai situasi semasa, terutama revolusi teknologi yang sedang pesat berlaku.
"Penghijrahan minda memerlukan minda yang bersedia keluar daripada kepompong kejahilan dan zon keselesaan, di samping memerlukan minda yang berani menerokai pengetahuan baharu, kemahiran baharu, medium baharu serta kaedah baharu, dirintis selari dengan keperluan zaman.
"Selain itu, penghijrahan minda memerlukan minda yang dahagakan kemajuan, minda bijaksana, minda yang rasional, minda merdeka yang tidak berjiwa hamba, dan minda yang tidak gentar pada perubahan," titah baginda pada Majlis Sambutan Kemuncak Ma'al Hijrah Negeri Perak 1445H/2023M di Casuarina@Meru, Meru Raya, di sini.
Turut berangkat pada majlis tersebut, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYAM Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); Yang Di-Pertua Dewan Negeri, Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YBhg. Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini serta YBrs. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Tuan Haji Harith Fadzilah bin Haji Abdul Halim.
Titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan lagi, penghijrahan budaya merupakan kesediaan meninggalkan budaya usang atau budaya lapuk.
"Ia perlu digantikan dengan budaya lebih dinamik yang mencerminkan keluhuran budi, mengamalkan disiplin, memiliki maruah dan harga diri, bersifat amanah, jujur, ikhlas bertunjangkan prinsip serta nilai Islam.
"Selain itu, penghijrahan adalah suatu jihad, dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah akan memperoleh kejayaan serta kemudahan-kemudahan hidup yang lebih baik," titah baginda.
Dalam majlis tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Ma'al Hijrah 1445H kepada Pengasas Yayasan Pembangunan Masjid Wilayah Bagan Serai, Encik Jurij bin Sulaiman dan Anugerah Saidina Abu Bakar (Tokoh Ar- Ridzuan) kepada YBhg. Pengerusi Masjid Muhammadiah, Ipoh, Dato' Dr. Haji Fadzli Cheah bin Abdullah.
Kedua-dua penerima tersebut menerima wang tunai sebanyak RM15,000, pakej umrah bernilai RM9,000, piala iringan dan sijil bernilai RM300.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan turut berkenan menyampaikan Anugerah Saidina Ali (Tokoh Belia) kepada Yang Di-Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Perak, Encik Mohamad Saifuddin bin Abdul Latif; Anugerah Siti Khadijah (Tokoh Wanita) kepada Dr. Umi Khaltum binti Ngah dan Anugerah Ikon Asnaf kepada Puan Hasarinawati binti Abdul Wahab.
Selain itu, baginda juga berkenan menyampaikan Anugerah Al-Baqi (Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik) kepada Tanah Perkuburan dan Wakaf Am Islam Kariah Rapat Setia, Ipoh serta Anugerah Al-Quba (Pengurusan Masjid Terbaik) kepada Masjid Al-Hidayah, Bandar Behrang 2020.
Para penerima membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000 berserta sijil dan plak bernilai RM150.