Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri 6: Daerah Hulu Perak.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad menyempurnakan Majlis Pelepasan Produk Usahawan Perak ke Malaysia Fest 2023.
GERIK, 20 Julai 2023- Kerajaan Negeri Perak hari ini menganjurkan Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 siri ke-6 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik.
YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkata, sehingga siri kali ini, sebanyak 852 aduan telah diterima. Daripada jumlah tersebut, 693 aduan telah diselesaikan.
"Aduan selebihnya masih dalam tindakan kerana ia melibatkan isu-isu di peringkat Kerajaan Persekutuan, permohonan tanah persendirian, membaikpulih jalan raya di daerah dan masalah penangkapan haiwan liar," jelasnya.
Tambahnya lagi, sebanyak 69 kaunter khidmat pelanggan merangkumi ketua jabatan dan agensi negeri bersama-sama YAB Menteri Besar Perak dan barisan ahli mesyuarat kerajaan negeri terlibat menyantuni pelanggan.
Di samping itu, 15 reruai pameran, 4 perkhidmatan kaunter bergerak dan 10 produk niaga turut disediakan buat para pengunjung.
Selain itu, beliau turut menyempurnakan Majlis Pelepasan Produk Usahawan Perak ke Malaysia Fest 2023 yang akan berlangsung di Singapore Expo Hall, Singapura pada 27 Julai sehingga 30 Julai ini.
Delegasi kerajaan negeri Perak akan diketuai oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak, Puan Salbiah Mohamed bersama pihak Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak (STeP), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak.
Sempena MESRA kali ini, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) Perak turut menganjurkan jualan murah keperluan asas dengan potongan harga sehingga 50 peratus sempena Ulang Tahun ke-50 SADC Perak.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin serta Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Perak, Encik Faizal Nizam bin Md Nor.
Sumber : Korporat, SUK Perak.