DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Sambutan Hari Harimau Sedunia 2023.

Sijil pengiktirafan itu disampaikan baginda kepada Encik Mohamed Shah Redza bin Hussein.
GERIK, 3 Ogos 2023- DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Harimau Sedunia 2023 anjuran World Wide Fund (WWF) for Nature Malaysia di Belum Rainforest Resort.
Berangkat sama, DYAM Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz merangkap Presiden WWF-Malaysia.
Di majlis tersebut, baginda berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 orang renjer dan sijil pengiktirafan atau akreditasi berprestij Pemuliharaan Terjamin|Standard Harimau (CA|TS) kepada Taman Negeri Royal Belum (RBSP).
Sijil pengiktirafan itu disampaikan baginda kepada Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), Encik Mohamed Shah Redza bin Hussein.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; YB Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklam, Encik Nik Nazmi bin Nik Ahmad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; Pengerusi WWF-Malaysia, YBhg. Tan Sri Abdul Wahid bin Omar dan Pengerusi Kumpulan Maybank dan Yayasan Maybank, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Zamzamzairani bin Mohd Isa.
YB Nik Nazmi bin Nik Ahmad, dalam ucapannya, mengucapkan tahniah kepada Orang Asli Menraq Patrol Unit, Taman Negeri Royal Belum yang telah meraih kejayaan bersejarah dengan memenangi Anugerah Renjer Antarabangsa daripada International Union for Conservation of Nature (IUCN) World Commission on Protected Areas (WCPA) 2023 yang berprestij sempena Hari Renjer Sedunia.
Tambahnya, Hari Harimau Sedunia disambut pada 29 Julai setiap tahun bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai kepentingan menjaga, memelihara dan memulihara spesies harimau. Malah, sambutan ini sangat bermakna kepada Malaysia yang masih mempunyai spesies endemik iaitu Harimau Malaya.
Sumber : Korporat, SUK Perak.