Kerajaan Umum Naikkan Kadar Subsidi Harga Padi

YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim mengumumkan berita gembira tersebut ketika menghadiri Majlis Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Perak.
PARIT BUNTAR, 8 Ogos 2023- Kerajaan bersetuju untuk menambah baik Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) dengan meningkatkan kadar subsidi daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan bermula esok, 9 Ogos 2023.
YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim mengumumkan berita gembira tersebut ketika menghadiri Majlis Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Perak di Dewan Terbuka Kerian Permai.
"Dengan langkah ini bermakna pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per metrik tan dan secara langsung akan meningkatkan pendapatan pesawah serta memberi motivasi kepada pesawah untuk meningkatkan pengeluaran," jelasnya.
Dalam majlis yang sama, YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim turut menyampaikan bantuan berjumlah RM21.8 juta yang memanfaatkan 28,295 orang pesawah dan peladang di negeri Perak.
Bantuan-bantuan yang disampaikan adalah di bawah Program Pemerkasaan Usahawan Peladang (Rise-UP), Program Pemilikan Jentera Kecil dan Sederhana Secara Geran Padanan, Program Agriprentice, Dana Tabung Hijrah MADANI Agrobank, Bantuan Khas Sumbangan Tunai kepada Pesawah dan Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; YB Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), YBhg. Dato' Dr Zulkapli bin Mohamed; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Dato' Mohd Zolkafly bin Harun; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah Sipun dan YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Nor Sham binti Rahman.
Sumber : Korporat, SUK Perak.