IMT-GT Beri Manfaat Jayakan Tahun Melawat Perak 2024.
Antara delegasi yang hadir
IPOH, 9 Ogos 2023- Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dijangka bakal memberi manfaat bagi negeri Perak dalam menjayakan Tahun Melawat Perak 2024.
YAB Menteri Besar Perak, Dato ' Seri Saarani Mohamad berkata, hal ini dilihat kerana kedudukan negeri Perak yang bersempadan dengan Indonesia dan Thailand.
"Melalui IMT-GT, kita mengambil peluang untuk mempromosikan negeri Perak kepada jiran kita iaitu Indonesia dan Thailand.
"Saya percaya, selain mempromosikan Malaysia, kita juga mampu mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024 yang diadakan seiring dengan kempen pelancongan melibatkan zon IMT-GT," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerjasama Hijau Sub Wilayah Indonesia-Malaysia-Thailand kali keenam di Casuarina@Meru, di sini.
Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; Ketua Delegasi Kerajaan Thailand merangkap Datuk Bandar Haytai, Leftenan Jeneral Sakorn Thongmunee; Ketua Delegasi Indonesia, Tuan Ahmad; YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi bin Bahrin; Pengarah Pusat Sub-Serantau IMT-GT, Tuan Firdaus Dahlan; Pakar Kerjasama Serantau Utama Bank Pembangunan Asia (ADB), Antonio Ressano.
Ujar YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad lagi, mesyuarat yang diadakan itu merupakan platform kolaborasi antara ketiga-tiga negara dalam melaksanakan usaha berkoordinasi bagi pengurusan lestari sumber semula jadi.
"Selain pengurusan lestari sumber semula jadi yang merangkumi hutan, air, serta hidupan liar, platform ini juga mampu memperkukuh kerjasama dalam pengurusan dan pemulihan ekosistem di kawasan sempadan.
"Ini kerana tiga negara ini berada dalam kawasan yang sama seperti budaya serta cara kerja oleh itu pengurusan secara lestari perlu dilakukan melalui kerjasama," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, pada sebelah malam, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkesempatan untuk menghadiri Malam Gala IMT-GT di Casuarina@Meru bagi meraikan delegasi-delegasi yang hadir.
Diharapkan, kerjasama antara tiga negara mengenai pembangunan lestari mampu dicapai dengan jayanya dan kesimpulan serta dapatan daripada mesyuarat yang berlangsung itu akan diumumkan pada Forum Ketua Menteri dan Gabenor, yang akan diadakan pada 27 September di Batam, Indonesia.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.