Majlis Perasmian SEPAKADD 7.0.
YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) ketika menyampaikan ucapan perasmian.
SERI ISKANDAR, 10 Ogos 2023- YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato' Nor Sham binti Rahman hadir bagi merasmikan Seleksi Pameran Karya Akhir Diploma dan Degree (SEPAKADD) 7.0.
Pameran tersebut merupakan program tahunan yang diadakan pada setiap akhir semester bagi pelajar Diploma dan Ijazah Sarjana Muda (Degree) di setiap Jabatan Kolej Pengajian Seni Kreatif di UiTM Cawangan Perak yang terdiri daripada Jabatan Seramik, Jabatan Senireka Fesyen, Jabatan Seni Halus, Jabatan Grafik & Digital Media dan Jabatan Fotografi & Pengimejan Kreatif.
YBhg. Dato' Nor Sham binti Rahman dalam ucapannya berkata, pada hari ini lebih ramai graduan seni yang telah dilahirkan dari institusi pengajian awam dan swasta yang terdiri daripada pelbagai bidang, sama ada bertunjangkan seni halus atau seni reka.
"Mereka ini telah memenuhi keperluan di dalam kerjaya berkaitan industri seni negara, merangkumi pelbagai bidang disiplin dan skop tugasan bidang kerja. Oleh itu mereka perlu mempersiapkan diri dalam menempuhi realiti kehidupan pekerjaan di luar sana.
"Antara persiapan yang perlu diberikan penekanan oleh bakal graduan ialah melengkapkan diri mereka dengan ilmu yang berkaitan dengan bidang yang diceburi kerana ia amat penting bagi memastikan mereka kekal relevan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian SEPAKADD 7.0 di Galeri Al-Biruni, UiTM Cawangan Perak, di sini.
Hadir sama, YBrs. Rektor Uitm Cawangan Perak, Prof. Madya Dr. Nur Hisham bin Ibrahim; YBrs. Pegawai Daerah Perak Tengah, Tuan Mohd Zaki bin Abdul Rahman; YBrs. Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Teknologis Dr. Norhayati binti Baharun serta YBrs. Yang Dipertua Majlis Daerah Perak Tengah, Tuan Mohd Syukri bin Azaari.
Pada majlis tersebut, YBhg. Dato' Nor Sham bin Rahman turut berkesempatan untuk menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik Jabatan kepada pelajar-pelajar yang telah memberikan pencapaian dan komitmen yang terbaik sepanjang pengajian.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.