Skip to main content

Rifdean, Chi Hui Olahragawan, Olahragawati Negeri Perak 2021/2022.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan anugerah.

IPOH, 12 Ogos 2023- DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan menyampaikan anugerah kepada atlet sukan Muaythai, Mohd Rifdean bin Masdor dan atlet berbasikal, Nyo Chi Hui yang merangkul gelaran Olahragawan dan Olahragawati Negeri Perak 2021/2022.

Baginda berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Sukan Negeri Perak 2021/2022 di Casuarina@Meru diiringi oleh DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Keberangkatan tiba baginda berdua itu telah disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim;

Hadir sama YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Encik Khairudin bin Abu Hanipah, YBrs. Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak, Tuan Hj. Mazlan bin Mohamad serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Mohd Rifdean bin Masdor yang merupakan pemenang pingat emas di Kejohanan IMFA Dunia 2021 di Abu Dhabi menerusi kategori 48 kilogram manakala Nyo Chi Hui, pemenang pingat emas Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Asia 2022 di New Delhi, masing-masing menerima sepasang blazer, piala dan insentif bernilai RM7,000.

Selain itu, pada majlis tersebut terdapat lagi 10 anugerah menerusi pelbagai kategori telah disampaikan oleh YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan YB Encik Khairudin bin Abu Hanipah.

Antaranya, Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan yang telah dinobatkan kepada pelari pecut negara, Muhammad Azeem bin Mohd Fahmi dan pemain tenis, Shitomi Leong Xi Xuan telah membawa pulang insentif sebanyak RM3,000.

Manakala bagi jurulatih Muaythai, Bernard Radin telah menerima Anugerah Jurulatih Terbaik, Pasukan Terbaik pula telah dimenangi oleh skuad hoki Piala Tun Abdul Razak dan Anugerah Kepimpinan Sukan dimenangi oleh YAM Tengku Datin Seri Noor Hazah Al'Hajjah binti Tengku Abdul Aziz Shah Al'Haj (boling padang).

Selain itu, bagi Anugerah Jasamu Dikenang, pemenangnya adalah legenda hoki, Foo Keat Seong, Anugerah Keluarga Sukan kepada Mohammad Arifin bin Abu Bakar (pentaque) dan Anugerah Media diberikan kepada Sayed Hesham bin Syed Idris yang merupakan wartawan Utusan Malaysia.

Bagi kategori Atlet Terbaik Para Lelaki dan Wanita telah berjaya diraih oleh atlet olahraga, Mohd Asraf bin Mohd Haisham dan atlet memanah, Nur Jannaton binti Sarnoh yang masing-masing menerima piala dan insentif sebanyak RM7,000.

Majlis itu turut menyaksikan Daerah Kinta sebagai Juara Keseluruhan Karnival Sukan Negeri Perak (SUPER) 2023 dan telah membawa pulang piala pusingan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.