Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri 7: Jualan Rahmah.

69 kaunter khidmat pelanggan merangkumi ketua jabatan dan agensi negeri bersama-sama YAB Menteri Besar Perak dan barisan ahli mesyuarat kerajaan negeri terlibat menyantuni pelanggan.
IPOH, 16 Ogos 2023- Kerajaan Negeri Perak hari ini menganjurkan Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 siri ke-7 yang berlangsung di Stadium Indera Mulia.
YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkata, pada hari ini sebanyak 136 aduan telah diterima dan sehingga siri 6 yang lepas, sebanyak 786 aduan daripada 833 aduan diterima telah diselesaikan. Manakala, 37 aduan masih di dalam tindakan.
Tambahnya lagi, sebanyak 69 kaunter khidmat pelanggan merangkumi ketua jabatan dan agensi negeri bersama-sama YAB Menteri Besar Perak dan barisan ahli mesyuarat kerajaan negeri terlibat menyantuni pelanggan.
Di samping itu, 10 reruai pameran, 7 perkhidmatan kaunter bergerak dan 12 produk niaga turut disediakan buat para pengunjung.
Sempena MESRA kali ini, Kerajaan Negeri Perak bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak turut mengadakan Program Jualan RAHMAH yang berlangsung selama dua hari bermula 16 Ogos sehingga 17 Ogos 2023.
Menurut YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad Program Jualan RAHMAH ini menawarkan barangan keperluan asas pada harga diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran setempat.
Beliau turut merasmikan pelancaran Program Jelajah Pengguna-Peniaga Merdeka yang diadakan sempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2023. Seramai 30 peserta telah terlibat dalam program ini.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin serta Pengarah KPDN Perak, YBhg. Datuk Kamalludin bin Ismail.
Malah, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad turut menyempurnakan sesi Penyerahan Surat Tawaran Menyertai Pameran dan Expo Perdagangan Dalam dan Luar Negara di bawah Kerajaan Negeri Perak menerusi Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).
Seramai 20 usahawan Perak terpilih untuk menyertai program Malaysia Internationa; Halal Showcase (MIHAS) 2023 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) Kuala Lumpur bermula 12 September sehingga 15 September 2023.
Seterusnya, Selangor International Expo F&B (SIE) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dari 19 Oktober sehingga 22 Oktober 2023 dan 10th OIC Halal Expo di Istanbul Expo Centre Turkiye dari 23 November sehingga 26 November 2023.
Sumber : Korporat, SUK Perak.