Skip to main content

Bulan Pelancongan Islam 2023 Lancar Di Perak.

Pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad di Hotel Casuarina@Meru

IPOH, 18 Ogos 2023- Pusat Pelancongan Islam (ITC), sebuah agensi di bawah seliaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memilih Perak untuk mengadakan pelancaran Bulan Pelancongan Islam 2023 (ITM) bermula 21 Ogos sehingga 17 September 2023.

Pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad di Hotel Casuarina@Meru, petang ini.

"Perak dikenali dengan negeri yang kaya dengan sejarah, budaya dan keindahan alam semula jadi. Dengan sokongan kerajaan negeri dan kerjasama masyarakat, kami telah memulakan perjalanan untuk mengubah Perak menjadi destinasi utama mesra muslim selaras dengan pelan tindakan Perak Sejahtera 2030.

"Bulan Pelancongan Islam 2023 hanyalah permulaan kepada babak yang menarik, kerana kami menantikan acara besar iaitu Tahun Melawat Perak 2024", jelasnya ketika berucap di majlis berkenaan.

Hadir sama, YB Timbalan MOTAC, Encik Khairul Firdaus bin Akbar Khan; Yang Di-Pertua Dewan Negeri, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Encik Loh Sze Yee dan YBrs. Ketua Pengarah ITC, Encik Nizran bin Noordin.

Menurut YB Encik Khairul Firdaus bin Akbar Khan, MOTAC menyasarkan 3.2 juta ketibaan pelancong muslim di negara ini sepanjang tahun 2023. Jumlah itu adalah 20 peratus daripada 16.1 juta pelancong asing yang disasarkan tahun ini.

"Menurutnya, hasrat itu mampu dicapai sekiranya pemain industri pelancongan muslim ini memainkan peranan masing-masing secara kolektif dan holistik selain peranan yang dimainkan oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC)," katanya kepada pemberita.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.