Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara Sempena Bulan Kemerdekaan 2023.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan ketika menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
IPOH, 19 Ogos 2023- DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat ke Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2023 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYAM Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim.
Keberangkatan tiba baginda itu, telah disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YB Menteri Komunikasi dan Digital, Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil serta YB Menteri Pendidikan, Puan Fadhlina binti Sidek .
Program tersebut merupakan kelolaan bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta Jabatan Pendidikan Negeri Perak dengan tujuan membentuk identiti nasional dengan pemahaman dan penghayatan terhadap prinsip kedua Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara dalam kalangan murid-murid sekolah di negeri Perak.
Bagi mencapai objektif tersebut, pelbagai pertandingan telah dirangka dan diadakan, antaranya, pertandingan Pidato Diraja; menulis esei Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris; menulis sajak; melukis karikatur; melukis poster; bicara berirama serta choral speaking.
Dalam majlis itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan menyampaikan hadiah juara pertandingan pidato Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sekolah menengah atas yang dimenangi oleh Rafaa binti Ahmad Muneer dari SMK Agama Kerian dan Muhammad Asyraf bin Rosman dari SMK Buyong Adil, Batang Padang dengan masing-masing menerima wang tunai bernilai RM750 serta piala pusingan.
Selain itu baginda turut berkenan menyampaikan hadiah bagi pertandingan menulis sajak, melukis karikatur, bicara berirama dan choral speaking kepada para pemenang.
Hadir sama dalam majlis tersebut, YABhg. Ahli Dewan Negara Negeri Perak, Tan Sri Dato' Seri Mohd Annuar bin Zaini; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.