Perak Akan Lancar Program Skim Sewa Perak Sejahtera.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad turut melawat salah satu Rumah Perakku, Taman Serdang, Sitiawan.
MANJUNG, 21 Ogos 2023- Kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) akan memulakan satu program baharu yang dinamakan Skim Sewa Perak Sejahtera.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku, Taman Serdang, Sitiawan, petang ini.
“Melalui skim ini, penyewa akan diberikan diskaun sebanyak 20 peratus dari kadar sewaan semasa yang akan memberi manfaat kepada golongan yang masih belum mampu memiliki rumah sendiri. Program ini akan dimulakan dengan 12 unit Rumah Mampu Milik di Taman Perakku, Serdang ini,” jelasnya.
Tambahnya lagi, LPHP juga mencadangkan supaya had kelayakan pendapatan isi rumah bagi pembeli Rumah Kos Rendah ditingkatkan daripada RM3,860 kepada RM5,000 sebulan.
“Cadangan ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri dalam masa terdekat untuk dipertimbangkan,” ulasnya.
Sementara itu, di majlis berkenaan, beliau telah menyampaikan kunci Rumah Perakku Taman Serdang kepada 447 orang pembeli meliputi 100 unit kediaman kos rendah dan 347 unit kediaman mampu milik teres setingkat. Ia membabitkan pembangunan di kawasan seluas 29 ekar dengan kos berjumlah RM55.3 juta.
Hadir sama, Orang Besar Jajahan Manjung, YDH Toh Seri Bijaya Leftenan Kolonel Dato’ Shaharudin bin Haji Nazari (Bersara); YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Puan Sandrea Ng Shy Ching; Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, Encik Shamsul Ridzuan bin Idris; Pengarah Tanah dan Galian Perak, YBhg. Dato’ Haji Mohamad Fariz bin Mohamad Hanip dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak, Encik Mohamed Akmal bin Dahalan.
Sumber : Korporat, SUK Perak.