YAB Menteri Besar Perak Terima Kunjungan Hormat Pesuruhjaya Tinggi Pakistan Ke Malaysia.

Sesi saling bertukar cenderamata antara dua negara.
IPOH, 25 Ogos 2023 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, TYT Syed Ahsan Raza Shah di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Kehadiran TYT Syed Ahsan Raza Shah itu telah disambut oleh YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah binti Sipun; Pegawai Khas, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Encik Mohamed Khairulazim bin Mohamed dan Penolong Setiausaha Kerajaan, Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Encik Mohamad Iqram bin Zainal.
Sejurus disambut, delegasi diiring ke Pejabat Menteri Besar Perak, di sini, bagi mengadakan sesi perbincangan berkaitan potensi kerjasama ekonomi di negeri Perak.
Kunjungan tersebut merupakan medan pertukaran informasi dan maklumat di samping mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara Kerajaan Negeri Perak dan negara Pakistan.
Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin serta YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin.
Sumber : Korporat, SUK Perak.