Skip to main content

Dialog Belanjawan 2024: Keterjaminan Makanan Dan Peluang Pekerjaan Antara Isu Utama.

Ketibaan YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad disambut oleh YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin dan YB Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin.

IPOH, 25 Ogos 2023 - Keterjaminan makanan dan peluang pekerjaan terutama bagi anak-anak muda Perak adalah antara isu yang dibangkitkan dalam program Dialog Belanjawan 2024 Perak Darul Ridzuan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad yang telah mempengerusikan dialog tersebut, berkata, pihaknya telah mula mengambil langkah untuk mengatasi isu-isu yang dibangkitkan oleh para hadirin di program berkenaan.

“Kita sedang cuba sedaya upaya untuk mengurangkan kebergantungan sumber makanan daripada pihak luar.

"Contohnya, dalam industri perikanan, harga ikan Talapia yang diternak di air tawar meningkat kerana bahan yang digunakan dalam makanan ikan tersebut berasal dari Ukraine. Apabila Ukraine berperang, harga bahan tersebut jadi mahal maka ikan Talapia terpaksa dinaikkan harga.

“Dalam hal ini, kita juga telah mengambil langkah untuk mewujudkan Akademi Sekuriti Makanan. Kita telah berkolaborasi bersama Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang berperanan untuk memperkukuhkan kelestarian sekuriti makanan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara bersepadu,” jelasnya.

Manakala, dari segi peluang pekerjaan pula, Perak telah mula menjadi negeri yang mesra pelabur.

“Kita telah mulakan beberapa projek di Perak antaranya syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) bagi pembangunan dan pengkomersilan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim dan projek pembinaan kawasan perindustrian Silver Valley Technology Park di Kanthan.

“Oleh itu, projek-projek ini akan menghasilkan peluang pekerjaan yang tinggi kepada anak-anak muda,” ulasnya ketika berucap di program berkenaan.

Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah binti Sipun; 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta 24 agensi kerajaan negeri.

YB Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin turut membentangkan kedudukan kewangan semasa. Malah, kerajaan negeri amat mengalu-alukan segala cadangan bagi pembangunan negeri termasuk penambah baikan projek atau program sedia ada untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan Tahun 2024.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.