Skip to main content

Ribut: Kerajaan Negeri Sampaikan Bantuan Wang Ihsan Kepada Peniaga Ipoh Night Market

YAB Menteri Besar Perak turut mendengar rintihan peniaga yang terjejas akibat ribut tersebut

IPOH, 3 September 2023 - Kerajaan negeri umum pemberian bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000 kepada 36 para peniaga yang terjejas akibat ribut pada 30 Ogos 2023, yang lalu.

Penyampaian wang ihsan tersebut telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad ketika meninjau kawasan peniaga yang musnah di Ipoh Night Market, Jalan Sultan Azlan Shah, petang ini.

“Pada hari ini, kita hadir sendiri melawat kawasan dan zahirkan rasa simpati kepada peniaga yang terjejas akibat ribut yang berlaku baru-baru ini.

“Saya difahamkan bahawa para peniaga telah bersedia untuk menerima pelanggan yang ramai pada malam tersebut sempena ambang merdeka. Tetapi, sebaliknya berlaku dan mereka telah menerima kerugian.

“Jadi, pada hari ini kita menghulurkan sedikit bantuan wang tunai. Saya harap ia dapat meringankan sedikit beban mereka kerana masih ada segelintir peniaga yang belum lagi memulakan perniagaan selepas berlakunya kejadian tersebut,” jelasnya.

Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak, Puan Salbiah binti Mohamed; YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Puan Sandrea Ng Shy Ching; Ketua Polis Perak, YDH CP Dato’ Mohd Yusri bin Hassan Basri; Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STEP), Encik Mohamad Rozlan bin Mohamad Razali dan Pengarah Urusan Ipoh Night Market, Encik Voon Ken Hong.

Sementara itu, peniaga, Muhammad Amirul bin Abd Rahman, 30, berkata, bantuan yang diberikan kerajaan negeri itu dapat meringankan bebannya untuk memulakan kembali jualan nasi goreng ayam gunting.

"Masa kejadian saya bersama seorang pekerja berlindung di sebalik barisan kedai lain dan sempat merakam kejadian ribut kuat.

"Buat masa ini, pemilik tapak memberi kami ruang untuk berniaga di lot berhampiran sementara proses baik pulih siap kira-kira dalam tempoh sebulan lagi," katanya.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.