Skip to main content

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Berkenan Berangkat Ke NWRC.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika sesi lawatan ke NWRC

SUNGKAI, 21 September 2023 - KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat melawat Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), di sini.

Turut berkenan berangkat, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YB Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad; YBhg. Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Dato' Abdul Kadir bin Abu Hashim; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Pada sesi lawatan tersebut, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima sembah taklimat oleh pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia mengenai operasi NWRC dan menyaksikan sendiri inisiatif konservasi hidupan liar di pusat itu termasuk Harimau Malaya, beruang matahari, tapir dan seladang.

Seri Paduka Baginda turut berkenan melepaskan burung Murai Batu yang merupakan hasil rampasan sebagai simbolik lawatan sulung Baginda.

Melalui sesi lawatan tersebut, ia jelas menunjukkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap konservasi hidupan liar di negara ini dan dilihat dapat mengukuhkan lagi usaha-usaha memulihara biodiversiti khususnya spesies terancam seperti Harimau Malaya.

Dalam perkembangan sama, NWRC ditubuhkan bagi memenuhi keperluan untuk mewujudkan pusat menyelamat iaitu penempatan sementara bagi hidupan liar yang dirampas di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686] dan memenuhi obligasi di bawah Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna dan Flora (CITES).

Selain itu, NWRC menempatkan hidupan liar yang diselamatkan daripada kecederaan, penyeludupan, rampasan, konflik hidupan liar dan manusia serta serahan di Semenanjung Malaysia. Pada masa ini, NWRC juga memberi fokus kepada aktiviti-aktiviti konservasi Harimau Malaya secara ex-situ sepertimenjalankan operasi menyelamat, rehabilitasi, husbandri, rawatan dan kawalan penyakit, penyelidikan ex-situ dan pembiakan menggunakan teknologi terkini.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.