Sidang DUN Perak Bermula 25 September Ini.

YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid memegang buku Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak dan komputer riba.
IPOH, 21 September 2023 - Mesyuarat Keempat, Tahun Pertama, Dewan Negeri Yang Ke-15, Perak Darul Ridzuan akan berlangsung pada 25 September hingga 27 September ini.
YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid berkata, seperti kelazimannya, sepanjang tiga hari persidangan tersebut, sesi soalan lisan akan berlangsung dengan tempoh sesi selama 90 minit.
“Pada mesyuarat kali ini, hanya satu Rang Undang-Undang (RUU) akan dibawa oleh pihak kerajaan iaitu Enakmen Sumber Air Perak 2023 yang akan dibawa oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar bin Jamaluddin," jelasnya
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bilik Sidang Media, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Hadir sama, YB Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, Cik Jenny Choy Tsi Jen dan Setiausaha Dewan Negeri, YBrs. Muhammad Nazri bin Abdullah.
Ujar YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid lagi, seramai 20 orang Yang Berhormat Ahli Dewan Negeri akan diberikan peluang untuk berbahas berkaitan RUU tersebut. Sesi perbahasan dijadualkan akan berlangsung pada Persidangan Pertama iaitu 25 September 2023.
“Untuk makluman, tempoh perbahasan kepada penyokong kerajaan dan ketua pembangkang adalah selama 30 minit seorang. Manakala tempoh masa perbahasan bagi setiap pembahas yang lain adalah selama 15 minit seorang.
"Tempoh masa sesi penggulungan bagi RUU oleh YB Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar bin Jamaluddin adalah selama 60 minit," katanya.
RUU Enakmen Sumber Air berkenaan akan menggantikan Akta Air 1920 (Akta 418) dan Enakmen Pengurusan Pesisir Pantai Perak 2016.
Penonton boleh mengikuti siaran langsung persidangan ini melalui saluran YouTube DUN Perak dan laman Facebook rasmi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Dewan Negeri turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang berhasrat untuk datang mengikuti persidangan Dewan Negeri secara langsung. Permohonan boleh dihantar ke Bahagian Dewan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Pas pemerhati akan diberikan bagi memudahkan urusan sepanjang perjalanan persidangan Dewan Negeri.