DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Rasmi Perak Agrofest 2023

Antara yang hadir bagi memeriahkan majlis
SUNGAI SIPUT, 30 September 2023 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah berkenan bercemar duli merasmikan Perak Agrofest 2023, di Ladang Infoternak, di sini.
Keberangkatan tiba baginda telah disambut YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad.
Hadir sama, YTM Tunku Dato’ Seri Kamel Tunku Rijaluddin; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad dalam sembah ucapannya berkata, kerajaan negeri telah melipatgandakan usaha dan ikhtiar agar segala inisiatif bagi memperkukuhkan sekuriti makanan seperti digagaskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 dapat direalisasikan khususnya melalui kolaborasi agensi dan jabatan berkaitan sektor pertanian untuk menjana pengeluaran hasil makanan berskala besar.
Beliau berkata, bagi sektor pertanian, Nisbah Sara Diri (SSR) negeri Perak pada tahun 2022 bagi 13 jenis tanaman terpilih adalah mencukupi serta memenuhi permintaan domestik dengan nilai SSR melebihi 100 peratus.
"Bagi sektor perikanan pula, Perak merupakan peneraju sektor perikanan di Malaysia dengan jumlah pengeluaran yang tertinggi untuk aktiviti akuakultur dan perikanan tangkapan sehingga mencatatkan Tahap Kadar Sara Diri (Self Sufficiency Level – SSL) pada kadar 98.31 peratus pada tahun 2022.
"Selain itu, bagi sektor komoditi ternakan pada tahun lepas, komoditi unggas telah melebihi nilai SSR 100 peratus iaitu daging serta telur ayam dan itik," katanya.
Pada program tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah turut berkenan menyampaikan 15 anugerah kepada para pemenang pertandingan sempena Perak Agrofest 2023.
Sebelum berangkat pulang, baginda turut berkenan meluangkan masa melawat ruang pameran jabatan dan agensi yang disediakan di sana.
Dalam perkembangan sama, Perak Agrofest merupakan penjenamaan semula Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri (HPPNN).
Bertemakan "Lestari Agro Perak Makmur" Perak Agrofest 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 September hingga 1 September 2023 merupakan platform strategik yang diwujudkan kepada peladang, penternak dan nelayan untuk mendapatkan maklumat serta pendedahan terkini dalam bidang pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani.
Sumber : Korporat, SUK Perak.