Skip to main content

Perak AGROFEST 2023 Menutup Tirai Dengan Sambutan Yang Menggalakkan.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad bersama YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim menyatuni orang ramai yang hadir ke Perak Agrofest 2023.

SUNGAI SIPUT, 1 Oktober 2023 - Lebih 100,000 orang membanjiri Perak Agrofest 2023 yang telah berlangsung selama 3 hari bermula 29 September hingga 1 Oktober 2023.

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Perak Agrofest 2023 di Ladang Infoternak, petang ini.

"Perak Agrofest sebelum ini mensasarkan jumlah kehadiran seramai 60,000 orang sepanjang tiga hari penganjuran.

"Namun, sehingga kini, jumlah kehadiran dianggarkan melebihi 100,000 orang.

"Sasaran jualan keseluruhan penganjuran kali ini ialah sebanyak RM1.5 juta dan seramai 150 usahawan pelbagai sektor seperti sektor makanan, input pertanian dan usahawan agro tani terlibat dalam penganjuran kali ini," jelasnya.

Tambahnya lagi, kali terakhir penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Perak diadakan di sini adalah pada tahun 2013. Setelah 10 tahun, acara yang kini dikenali sebagai Perak Agrofest dianjurkan kembali di sini bagi merancakkan lagi sektor agro tani di Perak.

"Dalam pengetahuan saya, ini memang tapak untuk Agrofest, tetapi, semasa saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kita anjur program ini di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Gopeng bertujuan untuk memudahkan bas ekspres yang lalu di lebuh raya untuk singgah di situ.

"Walau bagaimanapun, kita lihat orang ramai lebih suka program ini diadakan di tempat asal dan kita pun dah ada infrastruktur, jadi kita kembali anjurkan program ini di sini," katanya kepada pemberita.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah binti Sipun; YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Encik Loh Sze Yee; Ketua Pegawai Eksekutif Perak Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC), Tuan Haji Yahanis bin Yahya dan Ahli Jemaah Pengarah, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), YBhg. Dato' Haji Sham bin Mat Sahari.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.