Perlawanan Sepak Takraw League Lahirkan Pelapis Muda

STL yang dianjurkan oleh PERSEDAR adalah salah satu platform untuk melahirkan pelapis dan mengetengahkan bakat anak muda yang bakal beraksi di Temasya SUKMA di Sarawak pada tahun hadapan.
IPOH, 20 Oktober 2023 - Perlawanan Sepak Takraw League (STL) yang dianjurkan oleh Persatuan Sepaktakraw Perak Darul Ridzuan (PERSEDAR) adalah salah satu platform untuk melahirkan pelapis dan mengetengahkan bakat anak muda yang bakal beraksi di Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak pada tahun hadapan.
YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Encik Khairudin bin Abu Hanipah berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Sepak Takraw League (STL) di Dewan Gimnasium, Kompleks Belia dan Sukan, di sini.
Menurutnya, perlawanan yang terbuka kepada seluruh anak Perak ini turut disertai oleh 26 orang pemain bawah 20 tahun.
“Kejohanan sebegini adalah penting sebagai sokongan kepada pembangunan sesuatu sukan. Tanpa kejohanan, penilaian dan pendedahan kepada pemain akan sukar dilakukan,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau mengucapkan tahniah kepada pemain Sepak Takraw Negara yang telah memperoleh dua pingat Perak menerusi kategori Regu Berpasukan dan Regu dalam Sukan Asia di Hangzhou, China.
“Syabas dan tahniah kepada Mohamad Azlan bin Alias dan Muhammad Zarif Marican bin Ibrahim Marican. Malah, mereka turut menyertai perlawanan STL malam ini,” ujarnya.
Tambahnya lagi, gandingan pemain pengalaman dan pemain muda merupakan satu keunikan yang telah ditetapkan di dalam syarat kejohanan sebagai salah satu tarikan apabila anak muda dapat bermain bersama ikon-ikon sukan mereka.
Sebelum mengakhiri majlis, beliau menyempurnakan penyerahan bendera kepada setiap kumpulan dan berkesempatan menyaksikan beberapa perlawanan malam ini.
Turut hadir, Presiden PERSEDAR, YBhg. Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Haji Mazlan bin Mohamad.
Perlawanan ini melibatkan 12 daerah di negeri Perak dan setiap daerah diwakili oleh 9 orang termasuk pengurus dan jurulatih.
Perlawanan bermula pada 20 Oktober 2023 sehingga 5 November 2023 melibatkan 66 sesi perlawanan.
Kumpulan yang bertanding adalah Perak Tengah Katana, Muallim Arrow, Manjung Missile, Batang Padang Machete, Hulu Perak Crossbow, Kerian Axe, LMS Spear, Kuala Kangsar Cannon, Bagan Datuk Mace, Kinta Sword, Kampar Revolver dan Hulu Perak Grenade.
Sumber : Korporat, SUK Perak.