Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak Tahun 1445H/2023M

Anugerah Tokoh Guru telah dianugerahkan kepada Encik Zulkifli bin Ahmad

IPOH, 9 November 2023 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 1445H/2023M di Hotel Casuarina@Meru.

Keberangkatan tiba baginda telah disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad.

Hadir sama, YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YBhg. Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini serta YBrs. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Tuan Haji Harith Fadzilah bin Haji Abdul Halim.

Pada majlis tersebut, baginda berkenan menyampaikan keseluruhan 120 anugerah merangkumi 24 kategori.

Sementara itu, Anugerah Tokoh Guru telah dianugerahkan kepada Encik Zulkifli bin Ahmad.

Antara anugerah lain adalah, 32 orang telah menerima Anugerah Shahadah Addirosat Al-Islamiah sesi 2020/2021 dan 29 orang menerima Anugerah Shahadah Addirosat Al-Islamiah sesi 2021/2022.

Malah, 30 orang telah menerima Anugerah Hafiz Muda Tahun 2023 sebagai pengiktirafan kepada murid tahfiz di seluruh negeri Perak yang telah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dan seramai 7 orang menerima Anugerah Sijil Tahfiz Negeri Perak (STNP) bagi memperakui dan mengiktiraf para huffaz yang telah menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Seterusnya, Guru Besar Sekolah Rendah Agama Rakyat Ash-Shuhada’, Puan Maizatul Fazreen binti Mohd Tamin telah menerima Anugerah Sekolah Terbaik Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) dan Pengetua Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Batang Padang, Puan Norlia binti Hamzah telah menerima Anugerah Sekolah Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 Kategori Sekolah Menengah Agama Negeri.

Kemudian, Pengetua Maahad Imtiyaz, Tuan Haji Zulkifli bin Ismail telah menerima Anugerah Sekolah Terbaik SPM Tahun 2023 Kategori Sekolah Menengah Agama Rakyat manakala Tuan Haji Shamsul Bahrain bin Hashim menerima Anugerah Sekolah Terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2022.

Majlis tersebut diakhiri dengan persembahan khas pentomin bertajuk “Selamatkan Bumi” yang menceritakan kesan pencemaran laut akibat pembuangan plastik terhadap hidupan akuatik dan manusia oleh para pelajar daripada Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Manjung.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.