Skip to main content

Kerajaan Perak Prihatin Nasib 83 Keluarga Mangsa Ribut, Banjir.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyerahkan sumbangan wang ihsan dan kotak makanan

IPOH, 14 November 2022 - Kerajaan Negeri Perak prihatin akan nasib yang menimpa 77 keluarga mangsa ribut di Taman Meru 2C dan enam keluarga akibat banjir di kawasan Kampung Sri Kinta, di sini.

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan wang ihsan sebanyak RM600 dan juga kotak makanan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga terbabit.

"Selain sumbangan kerajaan negeri bernilai RM300 dan sumbangan peribadi sebanyak RM300 oleh saya, usaha juga sedang dibuat bagi menyelaraskan bantuan-bantuan lain termasuk dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang berjumlah RM1,000 dan Tabung Musa’adah Madani Jakim.

"Saya juga dimaklumkan bahawa Pejabat Parlimen Tambun dan Pejabat ADUN Hulu Kinta juga telah membuat langkah awal dengan menggantikan terus bumbung rumah yang kerosakannya pada tahap minima selain mengedarkan kanvas untuk menutup sementara bumbung yang rosak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan wang ihsan dan kotak makanan kepada enam keluarga yang terjejas akibat banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta, di sini.

Hadir sama, YB Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Cik Jenny Choi Tsi Jen; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri, Dato' Salbiah binti Mohamed; YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi bin Baharin @ Md Daud; YBrs. Pegawai Daerah Kinta, Encik Meor Hezbullah bin Meor Abd Malek; YDH. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Yahya bin Hassan serta wakil-wakil jabatan dan agensi berkaitan.

Ujar YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad lagi, susulan bencana yang melanda dua kawasan tersebut, satu mesyuarat melibatkan pelbagai agensi negeri dan persekutuan telah diadakan untuk menyelaras bantuan dan kerja-kerja pasca bencana.

"Selain penyaluran bantuan wang ihsan oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan termasuk agensi serta pertubuhan bukan kerajaan, antara tindakan sedang dilaksanakan adalah seperti pembersihan kawasan atau rumah yang terjejas akibat ribut atau banjir dan pengedaran borang bantuan bencana daerah untuk mengemaskini data mangsa ribut.

"Tumpuan kerajaan negeri pada masa ini ialah untuk membaiki rumah yang rosak teruk seperti sebahagian besar bumbung rumah yang diterbangkan ribut, manakala bagi kerja-kerja penilaian lain, ia sedang giat dilaksanakan oleh Bahagian Pembangunan Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, hujan lebat yang berterusan selama dua jam pada petang semalam mengakibatkan beberapa kawasan di Bandaraya Ipoh dilanda ribut dan banjir kilat.

Keadaan tersebut mengakibatkan lebih 40 rumah di Taman Meru 2C mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan dua keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Taman Meru, di sini.

Manakala di Kampung Seri kinta, sebanyak enam keluarga dipindahkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.