DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Anugerahkan Darjah Kebesaran, Pingat Kepada 209 Penerima.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan ketika Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak
KUALA KANGSAR, 18 November 2023 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sempena Hari Keputeraan baginda tuanku Tahun 1445H/2023M di Istana Iskandariah, di sini.
Turut berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); Yang Di-Pertua Dewan Negeri, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang- Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Pada isitiadat tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan untuk menganugerahkan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak kepada 209 orang penerima.
Sementara itu, istiadat penganugerah pada kali ini melibatkan 13 penerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) bagi tahun 2023; 31 penerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP); Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) seramai 20 orang penerima; Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) seramai 42 orang; Pingat Pekerti Terpilih (PPT) 57 orang, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) seramai 31 orang dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) seramai 15 orang.
Mendahului senarai penerima pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Tahun 1445H/2023M sesi kedua ini adalah YBrs. Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brigadier Jeneral Dr. Mohd Arshil bin Moideen yang merupakan penerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) tahun 2020.
Antara penerima PCM yang lain, YBrs. Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Nor Sihimah Wahid; YBrs. Pengerusi Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Dr Rofina Yasmin Othman yang sepatutnya menerima darjah berkenaan pada tahun 2021; YBrs. Pendaftar Universiti Pendidikan Sultan Azlan Shah (UPSI), Encik Helmi Zaifura bin Abdul Rahman; YDH Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahya bin Hassan dan YBrs. Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Puan Mufidah binti Mahfodz.
Manakala bagi Anugerah Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) telah dikurniakan kepada YBrs. Pengarah Khidmat Pengurusan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Encik Abdul Halim bin Saad; YBrs. Pakar Perunding Kanan (Psikiatri) Hospital Teluk Intan, Dr. Ahmad Syukri Chew bin Abdullah; YB. Ahli Dewan Negeri Pengkalan Baharu, Encik Azman bin Noh; YBrs. Setiausaha Politik YAB Menteri Besar Perak, Encik Mohamad Hamidi bin Baharuddin dan YBrs. Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Puan Nuruljaswa binti Abd Hamid.
Selain itu, pada istiadat penganugerahan itu, dua atlet negara, Mohamad Rifdean bin Masdor yang merupakan juara dunia tiga kali sukan muaythai dan pemenang pingat gangsa acara terjun 3.0 meter papan anjal seirama di Sukan Asia 2022 di Hangzhou, Muhd Shafiq bin Puteh dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).
Dalam perkembangan sama, sempena Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah Tahun 1445H/2023M, baginda telah berkenan untuk menganugerahkan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak kepada 238 orang penerima.
Pada sesi istiadat pertama yang diadakan 5 November 2023 lalu, ia menyaksikan YBhg. Mufti Negeri Perak, SS Dato' Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh telah dianugerahkan Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Dato' Seri mendahului senarai 24 orang penerima Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Tahun 1445H/2023M.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.