Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Sertai Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2023

Baginda berkenan menyempurnakan pelepasan peserta larian membabitkan kategori 15km dan 10km

TAIPING, 19 November 2023 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah berkenan bercemar duli berangkat menyertai acara Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2023 di Dataran Warisan, pagi ini.

Turut berkenan berangkat menyertai larian adalah DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim dan puteri baginda, YTM Raja Nazira Safya binti Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta YTM Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah.

Berangkat sama, adinda baginda, YTM Raja Dato' Seri Yong Sofia binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang berkenan menyempurnakan pelepasan bagi kategori tetamu kehormat (VVIP) yang membabitkan jarak 3 kilometer (km) diiringi tetamu kehormat yang lain.

Antaranya, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki Mahyudin; YDH Ketua Polis Perak, CP Dato' Seri Mohd Yusri Haji Hassan Basri dan YB Ahli Parlimen Taiping, YB Tuan Wong Kah Woh serta 200 orang tetamu kehormat lain.

Acara larian yang dianjurkan sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-67 DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang disambut pada 3 November lepas, menyaksikan penyertaan lebih 9,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sekitar jam 7.00 pagi, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan menyempurnakan pelepasan peserta larian membabitkan kategori 15km yang disertai oleh 4,240 orang peserta dan 4,179 orang peserta larian bagi 10km pada jam kira-kira 7.10 pagi.

Setelah 10 tahun acara ini diadakan di daerah Kuala Kangsar, buat julung kalinya, Taiping dipilih sempena sambutan 150 tahun sebagai Bandar Warisan tahun 2024.

Di sekitar Taman Tasik, acara larian diserikan dengan persembahan oleh kaum Melayu, Cina dan India serta dendangan daripada pancaragam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Di Padang Esplanade, dimeriahkan dengan pameran ketenteraan, demonstrasi tempur daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan terjun bebas (Payung Terjun), pancaragam formasi serta pertunjukan 'Fire Dragon'.

Muzium Perak turut menjalankan aktiviti sukan rakyat, mengecat magnet peti dan pameran Perang Dunia II.

Malah, pihak Jabatan Penjara membuat pameran khas dengan mempamerkan unifrom pegawai penjara yang terdahulu, pameran kraf, seramik dan jualan produk penjara.

Sebelum berangkat pulang, baginda berkenan menghadiri majlis santapan dan menyempurnakan acara penyampaian hadiah.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.