Dewan Negeri Perak Lulus RUU Wasiat Orang Islam (Perak) 2023 : 8 Disember 2023

YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad menggulung perbahasan bagi membolehkan undian dibuat dan RUU tersebut dipersetujui sebulat suara.
IPOH, 8 Disember 2023 - Dewan Negeri Perak hari ini meluluskan Rang Undang- Undang (RUU) Wasiat Orang Islam (Perak) 2023 selepas dibahas dan digulung ketika Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama, Dewan Negeri Yang Ke-15 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Usul bagi RUU tersebut telah dibawa oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad dan disokong oleh Ahli Dewan Negeri Perak, YB Ahli Dewan Negeri Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz bin Bari.
Kemudiannya, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad menggulung perbahasan bagi membolehkan undian dibuat dan RUU tersebut dipersetujui sebulat suara oleh semua Ahli Dewan Negeri Perak yang hadir.
Sejurus selepas penggulungan, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid mengumumkan enakmen diluluskan bagi bacaan kali kedua dan ketiga selepas dipersetujui semua Ahli Dewan Negeri Perak.
Menurut YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, setelah sesi perbahasan berlangsung, beliau dapat menyimpulkan bahawa wujud persefahaman secara kolektif dalam kalangan Ahli Dewan Negeri Perak bahawa RUU ini cukup penting dan amat bertepatan masanya untuk diwujudkan di Perak.
“Ini selepas kita mengambil kira keperluan untuk Kerajaan Negeri Perak mewujudkan panduan, hala tuju urus tadbir dan pengawasan pembuatan serta pelaksanaan wasiat orang Islam di negeri ini secara lebih berkesan.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri Perak sangat menghargai cadangan dan pandangan yang dizahirkan oleh rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang rata-ratanya menjurus kepada penyelesaian isu-isu yang selama ini melingkari hal ehwal wasiat dan pengurusan harta umat Islam,” jelasnya.
Tambahnya lagi, RUU ini digubal dengan begitu tersusun dan merangkumi hampir semua aspek hukum syarak.
“Ia bukan sahaja menyentuh mengenai pembuatan wasiat, malah meliputi aspek pembuktian, pelaksanaan dan pendaftaran wasiat selain menggariskan aspek kawal selia melibatkan wasiat orang-orang Islam.
“Kerajaan Negeri Perak melantik Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bagi menjalankan kajian secara komprehensif dengan menghimpunkan semua persoalan berkaitan pentadbiran harta orang Islam meliputi wasiat, pusaka dan hibah.
"Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri Perak mengambil pendirian terbuka bagi meneliti cadangan berkenaan untuk dibincang dan dipanjangkan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya.
Persidangan ditangguhkan ke satu masa yang tidak ditetapkan.
Sumber : Korporat, SUK Perak.