Program Hari Keluarga KESEDAR Tahun 2023
Orang ramai yang beratur dari awal pagi di Taman Tema Lost World of Tambun
IPOH, 23 Disember 2023 – Seramai 1,500 orang hadir ke Program Hari Keluarga Kelab Seri Perak Darul Ridzuan (KESEDAR) Tahun 2023 di Taman Tema Lost World of Tambun.
Tetamu yang hadir adalah ahli-ahli KESEDAR bersama keluarga.
Majlis yang diadakan sekitar jam 9.00 pagi itu dimulakan dengan kehadiran YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak merangkap Yang Dipertua KESEDAR, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim yang diiringi oleh Naib Yang Dipertua KESEDAR, YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman.
Menurut YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, program sebegini sangat penting untuk mewujudkan kesedaran dalam mengiktiraf keluarga sebagai asas kehidupan yang penting dalam membina masyarakat penyayang ke arah kesejahteraan negara.
“Selain itu, kita juga dapat mengukuhkan lagi kesejahteraan dan melahirkan generasi yang mengenal serta menghargai nilai kekeluargaan.
“Sesebuah organisasi tidak mampu untuk berjaya dengan sendiri tanpa sokongan dan kerjasama dari semua pihak. Ketepikan budaya kerja secara silo atau bekerja dalam komuniti sendiri selari pembaharuan dalam perkhidmatan awam negara,” jelasnya.
Hadir sama, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Encik Mohamad Amir bin Mohd Dahalan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak, Encik Mohamed Akmal bin Dahalan.
Majlis tersebut dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah dan pelbagai acara sukaneka yang melibatkan kanak-kanak mahupun dewasa seperti Zumba untuk memanaskan badan dan acara tarik tali.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.