DYMM Paduka Seri Sultan Perak Titah Ilmu Teras Pembangunan Masyarakat Progresif, Tamadun Agung.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan ketika menyampaikan titah diraja
IPOH, 12 Januari 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bertitah bahawa ilmu ialah teras untuk membangunkan masyarakat yang progresif dan tamadun yang agung.
Titah baginda, tahap penguasaan ilmu akan menentukan tahap pengertian, tahap fahaman dan tahap penguasaan sesuatu bidang kehidupan.
“Ilmu ialah komponen yang akan membentuk nilai-nilai keperibadian seseorang insan, yang akan mengangkat taraf kehidupan masyarakat, dan yang akan menjulang kemuliaan sesuatu bangsa dan negara.
“Malah ilmu berperanan sebagai perisai paling kukuh untuk melindungi manusia daripada tergelincir akidah kerana terpengaruh dengan tafsiran ulama samaran, atau terpesong fahaman kerana ungkapan kata-kata pemimpin palsu yang bertopengkan agama,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) Bagi Penggal 2024-2025 dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak serta Majlis Penyerahan Zakat di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta YABhg. Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Dato' Seri Mohd Annuar bin Zaini.
Titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan lagi, Jika keagungan Islam mahu dijulang, jika martabat bangsa mahu didarjatkan, usaha untuk memperkayakan generasi muda dengan ilmu wajib diberikan tumpuan, melalui persepakatan gerakan yang tersusun lagi strategik, diselaraskan dan digabungkan.
“Dalam hasrat mewujudkan pendekatan strategik tersebut, Majlis bersama institusi Orang Besar Jajahan, Jabatan Agama Islam, Jabatan Pendidikan, Jabatan Belia dan Sukan, Yayasan Perak, Majlis Belia Negeri serta Jawatankuasa Masjid, perlu digabungkan agar berupaya mewujudkan rangkaian kerja strategik.
“Rangkaian yang digabungkan itu juga dapat mengoptimumkan, menyelaras dan mengkoordinasi sumber dan tenaga, merintis usaha, memperkenalkan dan melaksanakan program-program yang lebih inovatif dan kreatif sifatnya, bersasar dan berfokus sesuai dengan cabaran dan keperluan semasa,” titah baginda.