FAMA Fest @ Perak 2024 Sasar Nilai Jualan RM2 Juta, Kehadiran 110,000 Pengunjung..
Antara jualan produk buah-buahan dan sayur-sayuran yang terdapat di FAMA Fest @ Perak 2024.
GOPENG, 29 Februari 2024 -FAMA Fest @ Perak 2024 menyasarkan nilai jualan sebanyak RM 2 juta dengan kehadiran pengunjung seramai 110,000 orang sepanjang lima hari program tersebut berlangsung, bermula hari ini.
YB Timbalan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, melihat kepada kemeriahan dan pengisian program yang disusun FAMA khusus buat para pengunjung, beliau percaya sasaran yang ditetapkan dapat dicapai.
"Saya percaya sasaran yang ditetapkan untuk negeri ini iaitu nilai jualan sebanyak RM2 juta dan jumlah pengunjung seramai 110 ribu akan dapat dicapai seterusnya memberi manfaat kepada manfaat kepada 131 orang usahawan FAMA Fest 2024 @ Perak.
"Besarlah harapan saya melalui penganjuran program di RTC Perak ini, para pengguna akan memperolehi produk berasaskan pertanian dan industri asas tani pada harga yang berpatutan dan memangkin perbelanjaan yang dapat merancakkan ekonomi setempat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian FAMA Fest @ Perak 2024 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini.
Hadir sama YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Dato' Mohd Zolkafly bin Harun; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato' Salbiah binti Mohamed; YB Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Puan Sandrea Ng Shy Ching; YBrs. Pengarah Pertanian Negeri, Ts. Norsiyenti binti Othman; YBrs. Ketua Pengarah Lembaga Permasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Encik Abdul Rashid bin Bahri serta ketua jabatan dan agensi.
Ujar YB Datuk Arthur Joseph Kurup lagi, program ini dapat membuka peluang untuk usahawan tempatan mengeksport produk mereka ke pasaran antarabangsa melalui dua luang pasaran luar negara yang dijangka boleh menjana jualan sebanyak RM1.8 juta seterusnya menjadikan FAMA Fest platform untuk mempromosikan perdagangan luar negara.
"Usahawan dan pengeluar produk pertanian dan industri makanan asas tani dapat menggunakan platform ini untuk memasarkan produk jualan mereka di samping dapat mempromosi dan memperkenalkan produk mereka dengan lebih meluas lagi.
"Di samping itu, diharapkan juga rakyat dapat memperolehi maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan dengan lebih jelas lagi, di samping kesedaran rakyat berkaitan aktiviti dan dasar-dasar kerajaan yang bermanfaat untuk rakyat dapat ditingkatkan," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, program Fruit, Flower & Food Fiesta atau FAMA Fest merupakan acara tahunan yang dianjurkan FAMA bermula tahun 2017. Pada tahun ini FAMA Fest @ Perak 2024 di RTC Gopeng merupakan kick-off sebelum ianya diteruskan ke Sarawak, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.