Pembukaan Kilang Baharu Sinopont, Sedia 200 Peluang Pekerjaan Buat Anak Perak.
YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan perasmian.
IPOH, 1 Mac 2024 - Pembukaan kilang pembuatan enkapsulasi filem sel solar antarabangsa Zhejiang Sinopont Technology Co. Ltd (Sinopont) di Perak bakal menyediakan lebih 200 peluang pekerjaan buat anak tempatan.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, kilang enkapsulasi filem sel solar yang pertama di negara ini iaitu di negeri Perak tersebut akan memulakan pengeluarannya menjelang suku pertama tahun ini.
“Insya-Allah, melalui pembangunan fasa-fasa seterusnya, lebih banyak peluang pekerjaan bakal diwujudkan yang seterusnya memacu lebih banyak pelaburan dan kemakmuran ke negeri Perak.
“Saya juga dimaklumkan bahawa kilang ini nanti akan berupaya menghasilkan enkapsulasi filem sel solar dengan kapasiti pengeluaran 85 juta meter persegi bagi menampung permintaan 10 gigawatt (GW),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kilang Sinopont di Kawasan Perindustrian Tasek, di sini.
Hadir sama, YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Encik Loh Sze Yee; YBhg. Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq bin Abdul Razak; YBrs. Pengerusi Sinopont, Xianglai Cao serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Ujar YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad lagi, fokus pada produksi enkapsulasi filem sel solar ini juga jelas memperlihatkan komitmen Perak terhadap penggunaan teknologi hijau dan pembangunan mapan.
“Ia juga selari dengan visi Kerajaan Negeri untuk mewujudkan hab bagi teknologi hijau dan inovasi di bawah Flagship 12 Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Sinergi yang wujud antara Sinopont dan negeri Perak ini adalah langkah ke hadapan negeri yang bukan sahaja membabitkan aspek ekonomi, bahkan turut menekankan aspek pembangunan komuniti yang lebih kukuh, sejahtera dan mapan dalam membentuk masa hadapan Perak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, perjanjian pembukaan kilang berkenaan termeterai melalui memorandum persefahaman (Mou) antara Pusat Pengurusan Pelaburan Perak (Invest Perak) pada Oktober tahun lalu di Ibu pejabat Sinopont di Hangzhou, China semasa sesi lawatan Kerajaan Negeri Perak ke China.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.