Skip to main content

Perak Lancar Projek Terminal Maritim Lumut 2.

Projek yang dilaksanakan di kawasan seluas 90 hektar akan dilaksanakan dalam tiga fasa pembangunan dan dijangka siap pada akhir tahun 2025

LUMUT, 4 Mac 2024 - Pembangunan projek Terminal Maritim Lumut 2 (LMT 2) adalah selaras dengan objektif utama Lumut Port untuk menjadi Pengendali Terminal Kargo Pukal yang terkemuka di Asia Tenggara.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Lumut Maritim Terminal 2 di Pekarangan Terminal Maritim Lumut 2, Batu Undan, Segari.

“Lumut Port telah melancarkan sebuah rancangan perniagaan strategik 10 tahun, membabitkan perbelanjaan sebanyak RM362 juta untuk tempoh 2016-2026.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM282 juta atau kira-kira 78 peratus daripada kos perbelanjanggan diperuntukkan untuk tujuan pembangunan LMT 2,” katanya.

Tambahnya lagi, projek yang dilaksanakan di kawasan seluas 90 hektar akan dilaksanakan dalam tiga fasa pembangunan dan dijangka siap pada akhir tahun 2025.

“Fasa pertama melibatkan penyediaan dengan pembelian tanah serta kerja penyiapan kawasan manakala fasa kedua terarah kepada kerja pengerukan dan pembinaan infrastruktur darat beserta marin.

“Fasa ketiga memfokuskan kepada Pembangunan terminal dengan kelengkapan dan peralatan kendalian yang bersesuaian. Kos keseluruhan pembangunan juga akan dibiayai sepenuhnya oleh Lumut Port,” jelasnya.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YBhg. Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq bin Abdul Razak; Pengerusi Lumut Maritim Terminal, YBhg. Dato’ Azian bin Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Maritim Terminal, YBhg. Dato’ Haji Mubarak Ali bin Gulam Rasul.

Ujar YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad lagi, projek ini dijangka mampu mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan serta membangunkan rangkaian operasi pembekal dan perniagaan dalam sektor maritim.

“Pembangunan LMT 2 ini juga dijangka akan meningkatkan kecekapan operasi dan kapasiti dalam pengendalian mineral pukal bagi memenuhi permintaan global yang tinggi selain memberi dorongan kepada perkembangan industri hiliran,” katanya.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 19 Mei 2025, 07:45:32.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.