Skip to main content

DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Simposium Wanita Dalam Kesihatan 2024.

Baginda bertitah, usaha itu mesti merangkumi proses saringan awal dan mengesan penyakit yang boleh dicegah khususnya untuk wanita di kawasan terpencil seluruh negara.

IPOH, 7 Mac 2024 - DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke Simposium Wanita Dalam Kesihatan 2024 sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia bertemakan ‘Inspire Inlusion’ di Hotel Weil, pagi ini.

Di majlis berkenaan, baginda bertitah mengenai dua aspek kepentingan wanita dalam bidang perubatan dan tema itu perlu merangkumi kedua-dua aspek ini.

“Aspek pertama adalah wanita yang menyumbangkan tenaga kerja, mendedikasikan kemahiran, masa dan semangat dalam sistem penjagaan kesihatan untuk merawat dan menjaga orang lain.

“Keduanya adalah wanita yang bergantung kepada sistem penjagaan kesihatan untuk kesejahteraan mereka dan orang yang tersayang.

“Aspek pertama sering terlintas dalam fikiran apabila membincangkan soal kesihatan wanita, manakala aspek kedua yang kurang ditekankan adalah sama penting.

“Suara dan pengalaman mereka adalah sama penting dalam membentuk keterangkuman dan keberkesanan sistem penjagaan kesihatan kita,” titah baginda.

Titahnya lagi, usaha perlu diperluaskan untuk mendekati golongan tidak bernasib baik dengan memastikan akses kepada penjagaan kesihatan, menyediakan maklumat dan pendidikan selain diperkasakan tentang kesihatan mereka serta orang tersayang.

Baginda bertitah, usaha itu mesti merangkumi proses saringan awal dan mengesan penyakit yang boleh dicegah khususnya untuk wanita di kawasan terpencil seluruh negara.

Hadir sama, isteri kepada YAB Menteri Besar Perak, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; isteri kepada YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, YABhg. Toh Puan Datin Seri DiRaja Puan Sri Rasiah binti Md Nor; isteri kepada YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak; YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah dan Pengerusi Persatuan Perubatan (MMA) Cawangan Perak, Dr. Suresh Subramaniam.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.