Skip to main content

Kerajaan Negeri Perak Rai Kejayaan Pejabat Daerah Dan Tanah.

Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan bayaran khas insentif pentadbiran tanah atas hasil usaha warga kerjanya yang berjaya merekodkan kutipan hasil yang tertinggi dalam sejarah iaitu RM1.21 bilion

IPOH, 8 Mac 2024 - Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Muallim mendominasi dua anugerah iaitu Anugerah PDT Unggul dan Anugerah Pekasa pada Majlis Malam Apresiasi Pentadbiran Tanah Negeri Perak di Galasa Caldwell, di sini.

Penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad diiringi YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin dan Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri merangkap pengerusi dan penganjur majlis malam ini, YBhg. Dato’ Fariz bin Mohamad Hanip.

Selain itu, PDT Kerian turut berjaya memenangi Anugerah Pendaftaran Efisien manakala PDT Larut Matang merangkul Anugerah Tadbir Urus Tanah Perak dan PDT Kecil Ipoh memenangi Anugerah Hasil Luar Biasa.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad dalam ucapannya berkata, kakitangan awam di pentadbiran tanah merupakan antara tulang belakang Kerajaan Negeri Perak dan menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa memberikan yang terbaik.

“Setiap kali berlangsungnya sidang Dewan Undangan Negeri, isu-isu melibatkan hal ehwal tanah adalah antara yang paling kerap dibangkitkan. Meskipun ada yang memberi pujian dan penghargaan, tidak kurang juga yang melontarkan kritikan dan teguran, selain menyarankan langkah-langkah penambahbaikan.

“Maka, kita perlu sentiasa membuat pengubahsuaian untuk memastikan apa jua ruang dan kelompangan yang ada dalam sistem penyampaian, dapat sama-sama kita perbaiki secara pantas dan tuntas,” jelasnya.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan bayaran khas insentif pentadbiran tanah atas hasil usaha warga kerjanya yang berjaya merekodkan kutipan hasil yang tertinggi dalam sejarah iaitu RM1.21 bilion pada tahun 2023.

Dalam perkembangan sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menyempurnakan pelancaran Buku Tatacara Pengurusan Tanah Negeri Perak yang dilengkapi dengan kod QR untuk akses mudah kepada pekeliling dan surat arahan berkaitan bagi setiap urusan.

Hadir sama, YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah binti Sipun dan pentadbir-pentadbir tanah negeri.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.