DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Masyhur Lenggong Geopark.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan berkenan melawat Galeri Lenggong Geopark.
LENGGONG, 9 Mac 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark dan merasmikan Galeri Lenggong Geopark di Dataran Kota Tampan, di sini.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; Yang DiPertua Dewan Negeri, YB Dato' Mohd Zahir bin Abdul Khalid dan isteri, YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah; YB Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad serta YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad;
Turut hadir, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang Besar-Orang Besar Jajahan Negeri Perak; YBrs. Pegawai Daerah Hulu Perak merangkap Pengurus Lenggong Geopark, Encik Zairasyahli bin Zakaria serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad dalam sembah ucapannya berkata, pengiktirafan Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan Ke-2 bagi negeri Perak selepas Geopark Lembah Kinta pada 16 Disember 2021, adalah sangat signifkan kerana keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri yang diakui di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau pengiktirafan tersebut datang bersama tanggungjawab bagi semua untuk terus memulihara warisan geologi, warisan sumber semulajadi dan sumber budaya serta sejarah yang tersimpan kemas di dalam Geopark Lenggong ini.
"Majlis pada hari ini tidak hanya meraikan pengiktirafan Lenggong Geopark kepada dunia, malah menciptakan jaringan geopark kebangsaan dan antarabangsa supaya lebih ramai pengunjung dalam dan luar negara berpeluang menelusuri aktiviti budaya, warisan, makanan dan pakej pelancongan yang ditawarkan.
"Selain itu, Ia juga membuka ruang mendidik masyarakat Negeri Perak dan Malaysia secara umumnya untuk menghayati, menghargai dan menyaksikan keajaiban dunia melalui kewujudan geopark sebagai sebuah wilayah geografi yang mempunyai tapak bertaraf antarabangsa," katanya.
Ujar beliau lagi, jika ditelusuri sejarahnya, Lembah Lenggong merupakan kawasan pertama dihuni oleh manusia di Asia Tenggara sejak lebih 1.83 juta tahun dahulu, yang telah pun mendapat pengisytiharaan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2012.
"Lenggong Geopark yang berkeluasan 2,068 km persegi menyenaraikan 27 produk geotapak, 8 biotapak, 9 tapak geoarkeologi dan 18 tapak budaya dan sejarah yang boleh dibangunkan sebagai produk pelancongan dan penyelidikan.
"Sehingga kini, geopark ini mempunyai 30 geoguide dalam kalangan anak tempatan, sebuah Galeri Lenggong Geopark, sebuah Pusat Informasi Komuniti, sebuahKoperasi Lenggong Geopark, Persatuan Geoguide Lenggong, Sahabat Lenggong Geopark malah satu modul geosekolah untuk sekolah rendah di Lenggong," ujarnya lagi.
Pada majlis tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan turut berkenan melakukan lawatan ke reruai-reruai yang disediakan bagi melihat pameran berkaitan geopark daripada wakil-wakil negeri antaranya Kenyir Geopark; Langkawi Georpark; Kinabalu Geopark; Sarawak Delta Geopark dan lain-lain.
Dalam perkembangan sama, Galeri Lenggong Geopark telah dibuka secara rasmi pada 16 Disember tahun lalu dengan tujuan menyediakan maklumat sempadangeologi yang mempunyai penarafan antarabangsa dan secara harfiahnya menunjukkan kewujudan serta penyusunan pengembangan ketamadunan manusia awal yang wujud di Lenggong.
Sumber : Korporat, SUK Perak.