Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Forum Perdana Hal Ehwal Islam Sempena Ummatic Festival 3.0.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan berkenan berangkat ke Forum Perdana Hal Ehwal Islam

IPOH, 9 Mac 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, di sini.

Forum anjuran Ummatic Festival dengan kerjasama strategik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bank Islam itu diadakan bersempena Ummatic Festival 3.0.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; YB Menteri Agama, Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar dan isteri, Datin Setia Nik Roslini binti Raja Haji Ismail YB Timbalan Menteri Agama, Senator Dr. Zulkifli bin Hasan; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YBrs. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), SF Tuan Haji Harith Fadzilah bin Abdul Halim serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Forum yang bertajuk 'Tempatku Bersujud' itu menampilkan YBrs. Pengurus Kandungan Syariah TV Al Hijrah, Ustaz Nabil bin Ahmad sebagai moderator bersama tiga orang panel iaitu YBrs. Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Dr. Muhammad Ayman Al- Akiti; YBhg. Pensyarah Universiti, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Izhar Ariff bin Mohd Kashim dan YBrs. Profesor Jabatan Siasah Syar,iyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Dr Sharifah Hayaati binti Syed Ismail.

Inti pati forum selama sejam setengah bermula 9.30 malam itu, antara lain membincangkan secara khusus tentang fungsi masjid yang menjadi penghubung sesama manusia dan antara manusia terhadap Allah S.W.T.

Dalam perkembangan sama, Ummatic Festival 3.0 yang berlangsung pada 8 hingga 10 Mac 2024 itu merupakan program dwi tahunan yang permulaanya dianjurkan secara bersama Jawatankuasa Kariah Masjid Muhammad Al Fateh dan Kelab Belia Al Fateh.

Ia bertujuan bagi menjadikan masjid sebagai tempat untuk penyatuan ummah serta pusat sehenti bagi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Selain Forum Perdana Hal Ehwal Islam, pelbagai aktiviti telah disusun bagi merealisasi dan menjadikan masjid berperanan mengikut fungsinya yang sebenar antaranya, saringan kesihatan, senaman ummatic, push bike challenge; memanah dan berkuda; dapur ummatic, ummatic cybergames dan banyak lagi.

Tambahan lagi, bagi memeriahkan program tersebut, seramai 170 peserta dalam kalangan mahasiswa antarabangsa dari 16 negara termasuk Thailand, Brunei, Indonesia, Kemboja, Turkiye, Singapura, Sri Lanka, Senegal, Nigeria dan beberapa negara lain akan berkampung di sekitar kariah Masjid Muhammad Al-Fateh.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.