WCE Buka Koridor Pembangunan Pesisir Pantai Barat, Beri Seribu Kebaikan Buat Rakyat Perak.
YB Menteri Kerja Raya ketika menyampaikan ucapan perasmian.
TAIPING, 11 Mac 2024 - Pembukaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bakal membuka koridor pembangunan di bahagian pesisiran pantai barat serta membawa seribu satu kebaikan kepada penduduk di negeri Perak.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, Lebuhraya WCE ini bukan sahaja memperluaskan rangkaian jaringan pengangkutan dan keterhubungan penduduk, malah memberi seribu satu manfaat dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Bukan satu, bukan dua, tetapi terdapat lima daerah di Perak yang terlibat secara langsung dalam jajaran lebuhraya WCE iaitu Bagan Datuk, Hilir Perak, Perak Tengah, Manjung dan Larut, Matang dan Selama.
“Ia memberikan pilihan akses dan memperluaskan jaringan pengangkutan kepada penduduk di pekan-pekan kecil di sepanjang pesisir pantai barat negeri Perak seperti di Hutan Melintang, Lekir, Sitiawan, Beruas dan juga Trong, selain membantu pekan-pekan kecil ini berhubung ke pusat-pusat pertumbuhan ekonomi dengan lebih mudah.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Pembukaan Seksyen 11 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan Ke Persimpangan Bertingkat Beruas di Plaza Tol Taiping Selatan di sini.
Hadir sama, YB Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi; YBhg. Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YB Ahli-Ahli Dewan Negeri; YB Ahli-Ahli Parlimen Negeri; YB Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Utama Ir. Hasni bin Mohammad; YBhg. Ketua Pengarah LLM, Dato’ Ir. Sazali bin Harun; YBhg. Pengerusi West Coast Expressway, Datuk Ir. Hamzah bin Hasan serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Ujar YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad lagi, perhubungan lebuhraya yang efisien dan strategik akan menjadikan negeri Perak sebagai sebuah destinasi yang mudah diakses oleh pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Pembukaan Seksyen 11 Lebuhraya WCE dari Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Bertingkat Beruas yang melengkapkan keseluruhan jajaran WCE di negeri Perak ini tepat pada waktunya, untuk menjadi pintu masuk utama membawa pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2024.
“Perak sememangnya cukup terkenal dengan pelbagai destinasi percutian menarik serta mempunyai banyak tempat pelancongan bersejarah. Laluan Lebuhraya WCE dengan persimpangan susur keluarnya yang strategik akan membawa pelancong menelusuri keindahan dan kemakmuran negeri Perak,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Seksyen 11 Lebuhraya WCE melibatkan jajaran sepanjang 35.5 kilometer (km) yang akan menghubungkan pengguna secara terus dari Lebuhraya PLUS di Changkat Jering ke selatan negeri Perak sehingga ke negeri Selangor.
Sempena pembukaan seksyen itu, pihak konsesi bersetuju menawarkan tol percuma bagi kedua-dua arah jajaran berkenaan selama dua bulan yang akan bermula pada jam 12.01 tengah malam pada 12 Mac 2024 sehingga 11 Mei 2024.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.