DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Berbuka Puasa Dan Perasmian Masjid Bandar Universiti.

Baginda berkenan membuka tirai plak sebagai simbolik perasmian masjid tersebut
SERI ISKANDAR, 19 Mac 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Bandar Universiti, di sini.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 7.00 malam telah disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YBhg. Mufti Negeri Perak, SS Dato' Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini serta YBrs. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Tuan Harith Fadzillah bin Abdul Halim.
Di majlis berkenaan baginda berkenan menanam pokok Bunga Tanjung atau mimusops elengi dan seterusnya membuka tirai plak sebagai simbolik perasmian masjid tersebut.
Baginda turut berkenan berbuka puasa bersama lebih 500 orang jemaah dan menunaikan solat Maghrib sebelum berkenan berangkat ke majlis santapan, diikuti dengan solat Isyak serta solat Terawih.
Masjid ini telah mula dibina sejak tahun 2018 dengan kos pembinaan sebanyak RM5.7 juta dan boleh memuatkan 1,200 orang jemaah.
Masjid ini juga telah mendominasi beberapa anugerah sempena Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2022 antaranya Anugerah Khas Prasarana dan Teknologi Mesra Alam Terbaik, Anugerah Dokumentasi Terbaik dan johan Masjid Lestari kategori Masjid Kariah.
Malah, sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444H Peringkat Negeri Perak, masjid ini menerima Anugerah Pengurusan Masjid Terbaik Negeri Perak 2022.
Sumber : Korporat, SUK Perak.