Sengoi Hik Discovery Centre Taman Eko-Rimba Lata Kinjang.

Pembangunan Sengoi Hik Discovery Centre memberi peluang kepada pengunjung untuk berinteraksi terus dengan masyarakat Orang Asli setempat
TAPAH, 21 Mac 2024 - Pembangunan Sengoi Hik Discovery Centre yang terletak di kawasan Taman Eko-Rimba Lata Kinjang memberi peluang kepada pengunjung untuk berinteraksi terus dengan masyarakat Orang Asli setempat, belajar tentang kehidupan, budaya serta kecekapan dan kemahiran mereka dalam memelihara alam sekitar.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata demikian ketika merasmikan Sengoi Hik Discovery Centre Taman Eko-Rimba Lata Kinjang, di sini.
“Sengoi Hik adalah bahasa Orang Asli Suku Semai yang membawa maksud “Orang Kita”, ia juga adalah refleksi jelas apa yang sedang diusahakan kerajaan negeri dalam menghargai, mengakui, dan memperkayakan kehidupan masyarakat Orang Asli melalui pengenalan dan pemahaman yang lebih luas terhadap budaya dan tradisi mereka.
“Ini selaras dengan usaha mempromosi kelestarian dan penghargaan terhadap keunikan alam semula jadi serta budaya setempat,” katanya.
Menurut Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Encik Mohamad Haris Kader Sultan yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Encik Hasri bin A. Hasan, penaiktarafan infrastruktur di Taman Eko Rimba Lata Kinjang mengalami tiga fasa.
“Projek menaik taraf infrastruktur dilaksanakan dalam tiga fasa dimana fasa pertama dan kedua melibatkan penyediaan surau, tandas, parkir kereta dan pelbagai kemudahan lain serta diserahkan kepada Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB) pada tahun 2022 untuk diuruskan.
“Fasa tiga melibatkan penyediaan lima Tiub Kem tambahan, Sengoi Hik Discovery Centre dan laman sesawang rasmi. Fasa ini telah dilaksanakan sejak 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini.
“Pembangunan Taman Eko Rimba Lata Kinjang telah membantu mewujudkan 24 peluang pekerjaan menerusi penubuhan KOALKB dan hasilnya ahli koperasi penduduk Lata Kinjang dapat menikmati dividen pertama daripada projek ini,” jelasnya ketika berucap di majlis berkenaan.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), YBhg. Datuk Hajah Sapiah binti Dato’ Mohd Nor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Chenderiang, YB Encik Choong Shin Heng.
Sumber : Korporat, SUK Perak.