Skip to main content

Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri Bagi Majlis Berbuka Puasa MADANI 2024 Negeri Perak.

YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim bergambar bersama barisan pimpinan Kerajaan Negeri Perak

IPOH, 25 Mac 2024 - YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim telah mempengerusikan Mesyuarat Taklimat Pembangunan Negeri Perak di Bilik Gerakan, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Taklimat tersebut telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad kepada ahli-ahli mesyuarat sempena Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri bagi Majlis Berbuka Puasa MADANI 2024 Negeri Perak.

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, YB Senator Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd. Kadir; YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Dato' Nor Azmie bin Diron; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), YBhg. Nor Azman bin Ibrahim; barisan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak serta Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.

Seterusnya, YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim turut merasmikan Program GERAK RAHMAH 2024: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan dan Penyampaian Sumbangan Rahmah Parlimen Tambun di Dewan Orang Ramai, Meru.

Acara kemuncak lawatan ini adalah Majlis Berbuka Puasa MADANI 2024 Peringkat Negeri Perak 2024 di Kolej Poly-Tech MARA.

Menurut YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, lawatan turun padang kali ini adalah istimewa kerana YAB Perdana Menteri sudi bertukar-tukar pandangan supaya Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan boleh bekerjasama lebih akrab bagi memastikan projek-projek berkepentingan rakyat di negeri Perak ini dapat dijayakan.

"Kalau saya boleh kongsikan serba sedikit, ia termasuklah pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi yang sedang giat dilaksanakan. Antaranya usaha kita untuk menjayakan inisiatif Kerian Integrated Green Industrial Park atau KIGIP di daerah Kerian, seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu.

"Begitu juga, pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi lain seperti Automotive High Technology Valley (AHTV) di Tanjung Malim; Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) di Manjung; Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan serta perkembangan dan hala tuju pembangunan industri perlombongan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang telah kita mulakan sebagai projek perintis di Hulu Perak," katanya ketika menyampaikan ucapan aluan.

YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim berkata perkara yang disuarakan oleh Kerajaan Negeri Perak akan diberi perhatian kerana beliau mempunyai harapan yang tinggi untuk meningkatkan projek-projek bersasar di negeri ini.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.