DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Perak.
Baginda berkenan menunaikan solat secara berjemaah bersama para tetamu
IPOH, 27 Mac 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; YTM Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Azlan Muzzaffar Shah ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; YTM Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah dan YTM Raja Kecil Tengah Perak Darul Ridzuan, Raja Dato' Seri Iskandar bin Raja Ziran@Raja Zaid.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YBhg. Mufti Negeri Perak, SS Dato' Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini.
Majlis bermula dengan aluan bacaan dan tadabbur al-Quran diikuti bacaan tahlil sebelum berbuka puasa bersama lebih 1,000 jemaah kemudiannya berangkat menunaikan solat Maghrib.
Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri MAIPk daripada dana zakat berjumlah RM11,772,300.
Bantuan diserahkan kepada penghulu mukim dari 12 daerah mewakili 39,241 penerima terdiri daripada asnaf fakir dan miskin di seluruh Perak.
Penerima bantuan tersebut dipilih daripada senarai yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Diri Jumaat di negeri itu.
Selain itu, semua penerima bantuan kewangan bulanan dan hemodialisis terdiri daripada asnaf dan fakir miskin turut menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri.
Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan solat tarawih secara berjemaah.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.