Program CEPA Pemuliharaan Dan Pengoperasian Hutan Paya Laut Negeri Perak Bersama Yb Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri.
YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim melepaskan sebanyak 3,330 ekor anak ikan Siakap
KERIAN, 18 April 2024 - Seramai 200 orang telah menyertai Program Communication, Education, Participation & Awareness (CEPA) Pemuliharaan dan Pengoperasian Hutan Paya Laut Negeri Perak Bersama YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Penjawat Awam dan Pengusahasil Hutan Paya Laut di Tanah Kerajaan Pulau Gula.
Peserta tersebut terdiri daripada Ahli Kelab Seri Perak Darul Ridzuan (KESEDAR), Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Jabatan Perikanan Negeri Perak serta Pertubuhan Kayu Arang dan Jaras (KAJ).
Program dimulakan dengan ketibaan tetamu di Jeti Jabatan Perhutanan Kuala Gula, di sini kira-kira jam 8.30 pagi.
Setelah itu, tetamu dibawa menaiki bot ke Tanah Kerajaan Pulau Gula untuk menanam sebanyak 500 Pokok Bakau Minyak dan Bakau Kurap.
Kemudiannya, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim bersama YB Pegawai Kewangan Negeri Perak, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Nor Sham binti Rahman; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah binti Sipun; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian, YBhg. Dato' Mohamad Fariz bin Mohamad Hanip; Pegawai Daerah Kerian, YBrs. Tuan Haji Mohd Sabli bin Bakri; Ketua Polis Daerah Kerian, YDH Supt Juna bin Yusoff dan Pengarah Perhutanan Negeri Perak, YBhg. Dato’ Mohd Basri bin Abdul Manaf melepaskan sebanyak 3,330 ekor anak ikan Siakap.
Tetamu kehormat meneruskan lawatan ke kawasan Usahasil Kayu Bakau sekitar Hutan Simpan Kuala Sepetang dan Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, Kuala Sepetang.
Fokus utama lawatan ini adalah untuk melawat Tanah Kerajaan Pulau Gula yang telah dicadangkan untuk diwartakan sebagai hutan simpanan kekal seluas 500 ekar.
Inisiatif ini bertujuan untuk menambah keluasan kawasan hutan simpanan kekal paya laut atau hutan bakau serta memelihara dan memulihara kawasan tersebut daripada diganggu aktiviti penerokaan.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.