Perak Lokasi Kedua Pembukaan Kilang Smart Paint Manufacturing Sdn Bhd.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menandatangani plak perasmian kilang tersebut.
BATU GAJAH, 9 Mei 2024 - Negeri Perak menjadi lokasi pilihan bagi Smart Asia Chemical Bhd untuk membuka kilang keduanya iaitu Smart Paint Manufacturing Sdn. Bhd. di kawasan Perindustrian Bemban, di sini.
Majlis perasmian pembukaan kilang tersebut telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad.
Menurutnya, kilang pertama syarikat ini adalah di Johor tetapi menggunakan sumber mineral dari Perak bagi penghasilan produk keluaran termasuk pelbagai jenis cat hiasan berasaskan air dan salutan pelindung untuk kegunaan di rumah dan industri.
"Syabas diucapkan kepada InvestPerak dan Smart Asia melalui subsidiarinya, Smart Paint Manufacturing Sdn Bhd kerana berjaya memeterai persefahaman sehingga membawa kepada pembinaan kilang ini.
"Persefahaman yang dimeterai tentunya memberikan situasi menang-menang kerana pihak syarikat dapat menjimatkan kos operasi sumber bahan mentah utama dalam industri pembuatan cat, manakala Perak dapat mengukuhkan lagi sektor mineral yang menjadi antara nadi pertumbuhan ekonomi negeri," katanya.
Tambahnya lagi, pembangunan ini membabitkan pelaburan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM100 juta dengan dilengkapi teknologi terkini dan sistem automasi industri 4.0 sejajar dengan komitmen dan kesungguhan syarikat menuju kemajuan inovasi dan teknologi semasa bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti.
"Usaha ini adalah seiring dengan agenda pelan pembangunan negeri iaitu Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 dan juga Pelan Perindustrian Perak (P3) yang diterajui oleh InvestPerak. P3 akan melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan prestasi sektor perindustrian negeri bagi 10 tahun bermula 2021 sehingga 2030.
"Bukan itu sahaja, pembukaan kilang ini akan melimpahkan rezeki kepada peniaga kecil dan membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan yang tinggal berdekatan.
"Difahamkan sebanyak 200 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan melalui pembukaan kilang ini yang memberikan manfaat kepada penduduk khususnya yang tinggal di sekitar Batu Gajah dan Seri Iskandar," jelasnya.
Hadir sama, YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Encik Loh Sze Yee; Ketua Pegawai Eksekutif InvestPerak, Encik Mohamad Hashim Abdul Ghani; Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Pengarah Urusan Smart Asia Chemical Bhd, Encik Goh Chye Hin dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Operasi Smart Asia Chemical Bhd, Encik Lim Kok Beng.
Encik Lim Kok Beng berkata, kemudahan baharu yang berkeluasan 95,170 kaki persegi telah direka bentuk dengan teliti untuk mengoptimumkan proses pengeluaran dan meningkatkan kecekapan operasi.
"Dengan ruang pembuatan yang diperluaskan, Smart Asia menjangkakan peningkatan 27 juta liter kapasiti pengeluaran tahunan untuk cat hiasan dan salutan pelindung," ujarnya.
Sumber : Korporat, SUK Perak.