Skip to main content

“Mini Amazon Malaysia” Dipilih Sebagai Kampung Angkat Madani.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan berucap di majlis berkenaan

LENGGONG, 12 Mei 2024 - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memilih “Mini Amazon Malaysia”, Kampung Beng sebagai Kampung Angkat MADANI.

YB Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI KDN di Jeti Pengkalan Pipit, Kampung Beng, di sini.

Menurutnya, Kampung Beng memiliki kelebihan tersendiri kerana mempunyai tapak warisan arkeologi bertaraf dunia serta flora dan fauna yang bernilai tinggi.

“Kampung ini ada satu kelebihan tersendiri kerana di sini juga adanya tapak warisan arkeologi bertaraf UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) sejak 2012. Jadi kerana itu, potensinya cukup besar.

“Kita naik taraf beberapa perkara yang dianggap penting termasuk bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk seperti naik taraf bekalan air bersih untuk manfaat kepada kampung sekitar seperti Kampung Batu Ring dan Kampung Durau,” jelasnya.

Tambahnya lagi, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan 2.5 juta kepada Kerajaan Negeri Perak bagi menjayakan inisiatif ini.

Antaranya adalah pembinaan projek infrastruktur seperti jalan kampung, lampu jalan, bekalan air bersih, bekalan elektrik, kemudahan ameniti sosial dan capaian internet dijalankan menerusi kaedah kerjasama melibatkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Sektor Swasta Dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Selain itu, menyediakan kemudahan akses kepada pendidikan dan kesihatan seperti bot dan pengangkutan yang bersesuaian, menyediakan sumber altenatif bagi pengeluaran makanan menerusi inisitif menggalakkan atau mewujudkan kebun dan tanaman dengan pihak kerajaan dan swasta bertindak sebagai pembimbing kepada penduduk terlibat.

Ketibaan beliau diiringi oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; YB Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah, Ketua Setiausaha KDN, YBhg. Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi; Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin bin Husain@Abd Rasid dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 09 Mei 2025, 06:51:36.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.