Skip to main content

Batang Padang Daerah Kedua Bagi Program Mesra HBP.

Sebanyak 154 aduan telah diterima

TAPAH, 13 Mei 2024 - Batang Padang menjadi daerah kedua bagi program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) siri ketiga pada tahun ini. Program tersebut telah diadakan di Dewan Merdeka, di sini, petang tadi.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata sebanyak 154 aduan telah diterima. Sehingga siri kedua yang lepas, daripada 401 aduan yang diterima, sebanyak 354(88%) aduan telah diselesaikan. Baki 47 (12%) aduan masih dalam tindakan kerana ia merupakan aduan kompleks melibatkan tanah dan urusan peruntukan yang memerlukan perhatian banyak pihak.

“Seperti kebiasaan, terdapat juga jualan barangan mentah dan keperluan harian dengan harga murah daripada Yayasan Bina Upaya (YBU) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) serta Jualan RAHMAH anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Pasaraya SEGI.

"Penganjuran kali ini melibatkan 69 kaunter khidmat pelanggan, 8 kaunter bergerak serta lebih 10 reruai pameran,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyampaikan dana yang diluluskan melalui Program Sejahtera Komuniti MADANI (SeJati MADANI) kepada sembilan komuniti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

"Program SeJati MADANI ini merupakan inisiatif baharu Kerajaan Persekutuan yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.

"Setakat 13 Mei 2024, Perak masih mencatatkan sebagai negeri yang tertinggi dari aspek penjanaan ID Komuniti pengguna Sistem MySejati Madani dengan 276 komuniti manakala jumlah permohonan program yang diterima adalah sebanyak 86 permohonan.

"Sinergi baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah memungkinkan Perak sebagai negeri pertama yang diluluskan dana di bawah Program SeJati MADANI," katanya.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta YBrs. Pegawai Daerah Batang Padang, Tuan Ahmad Redhauddin bin Ahmad Shokori.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.