Skip to main content

Jepun Cipta Sejarah Muncul Juara Psas Edisi Ke-30.

Jepun cipta sejarah muncul juara PSAS Edisi ke-30.

IPOH, 11 Mei 2024 - DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) Edisi ke-30 antara pasukan Pakistan dan Jepun di Stadium Hoki Azlan Shah, di sini.

Pada aksi perlawanan akhir tersebut, Jepun mencipta sejarah merangkul kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama selepas menewaskan Pakistan menerusi penentuan pukulan penalti 4-1 selepas kedua-dua pasukan seri 2-2 pada masa sebenar aksi final.

Semasa aksi padang, pasukan Samurai terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi pukulan padang, Seren Tanaka.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan Pakistan berjaya melakukan kebangkitan dengan mengubah kedudukan apabila Ahmad Ajaz serta Abdul Rahman menjaringkan gol padang masing-masing pada minit ke-34 dan ke-37.

Namun pada minit ke-47, serangan bertali arus oleh pasukan Jepun berjaya membuahkan hasil apabila Matsumoto Kazumasa menjaringkan gol penyamaan.

Kedudukan kekal 2-2 sehingga tamat permainan dan memaksa kedua-dua pasukan itu ke penentuan penalti ‘shoot-out’ bagi menentukan juara.

Bagi aksi penalti, Jepun memulakan pukulan dengan Kosei Kawabe, Ryoma Ooka, Seren Tanaka dan Kazumasa Matsumoto berjaya menjaringkan gol manakala Rana Waheed Ashra, Arshad Liaqat dan Ammad Butt gagal menyudahkan jaringan untuk Pakistan.

Sejurus tamat aksi perlawanan akhir, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan berkenan menyampaikan trofi kejuaraan kepada pasukan Jepun selaku juara kejohanan.

Terdahulu, baginda berkesempatan menyaksikan aksi penentuan tempat ketiga dan keempat antara pasukan Malaysia menentang New Zealand.

Pada aksi tersebut, New Zealand berjaya mengesahkan kedudukan mereka di tempat ketiga manakala pasukan The Speedy Tiger terpaksa berputih mata kerana sekadar memperoleh tempat keempat.

Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Encik Khairuddin bin Abu Hanipah dan isteri, Puan Nor Analiza binti Hamid yang mewakili YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; YTM Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Dato' Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Almarhum Raja Ashman Shah; YTM Tunku Dato’ Seri Kamel bin Rijaludin; YTM Raja Dato' Seri Azureen binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor.

Turut hadir, YBhg. Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Dato’ Tayyab Ikram; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; TYT Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah; YBhg. Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Sri Subahan Kamal; YBhg. Presiden Persatuan Hoki Perak (PHP), Dato’ Mohd Sayuti bin Abdul Samad; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; Orang Besar-Orang Besar Jajahan serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.