Skip to main content

Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Exco, Jabatan Dan Agensi Angkat Sempena SUKMA 2024.

YB Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air & Pengangkutan Awam ketika menerima watikah pelantikan sebagai Exco angkat bagi sukan pencak silat dan sofbol.

IPOH, 12 Jun 2024 - Kerajaan Negeri Perak telah melantik seramai 25 orang bagi membantu persediaan kontinjen Perak sempena Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024 Sarawak, Ogos nanti.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, mereka terdiri daripada sembilan Exco, lima wakil jabatan dan agensi negeri serta 11 Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negeri (MSN) telah dilantik bagi membantu melicinkan persiapan kontinjen.

Menurut beliau, kesemua mereka akan berperanan membantu bahagian pengurusan sukan serta Sekretariat SUKMA bagi menambah baik operasi dan menguruskan organisasi sukan dengan cekap dan berkesan.

“Rasional pelantikan ini juga adalah bagi tujuan pemantauan sebelum dan semasa SUKMA XXI 2024 Sarawak berlangsung.

“Majlis hari ini juga bertujuan menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan Kerajaan Negeri Perak di atas jasa dan pengorbanan atlet-atlet, penggiat-penggiat sukan dan persatuan-persatuan sukan negeri Perak di atas perkhidmatan serta kepimpinan mereka ke arah kemajuan sukan negeri Perak dalam persediaan menyertai temasya SUKMA kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Exco, Jabatan dan Agensi Angkat Sempena Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI (ke-21) 2024 Sarawak di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; ketua-ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.