Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Tunai Solat Sunat Aidiladha.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Azlan Shah.

IPOH, 17 Jun 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini.

Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YTM Raja Kecil Sulung Perak Darul Ridzuan, Raja Dato' Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah; YTM Raja Kecil Tengah Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Iskandar bin Raja Ziran @ Raja Zaid; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); Yang Di-Pertua Dewan Negeri, YB Dato' Mohd Zahir bin Dato' Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin dan YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin.

Turut hadir, YABhg. Mufti Negeri Perak, SS Dato' Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh; YBhg. Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja Dato' Ab Wahab bin Dato' Seri Azizul Hassan, Orang Besar Jajahan Kinta; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

YBrs. Imam utama Syed Mohd Muzzaffar bin Syed Azlan yang mengimamkan solat sunat turut menyampaikan khutbah bertajuk "Pengorbanan Memupuk Sifat Ihsan".

Khutbah antara lain menyeru umat islam yang berkemampuan melakukan ibadah korban dituntut berkongsi rezeki kurniaan ilahi dengan mengagihkan sebahagian daripada rezeki itu kepada golongan fakir miskin kerana tidak semua manusia berkemampuan.

Selain itu, khutbah turut mengingatkan ummah agar tidak melupakan saudara-saudara seakidah kita di Palestin, yang kini sedang dizalimi dan memerlukan pengorbanan umat Islam di seluruh dunia untuk membantu mereka keluar daripada azab dan penderitaan.

Usai solat sunat Aidiladha, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Sekolah Menengah Agama Izzudin Shah, dekat sini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Berangkat sama, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 30 Mei 2025, 05:40:16.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.