Skip to main content

Kerajaan Negeri Perak Kuat Kuasa Enakmen Hotel Perak 2023.

Kerajaan Negeri Perak kuat kuasa Enakmen Hotel Perak 2023 bermula 1 Julai 2024.

IPOH, 20 Jun 2024  – Kerajaan Negeri Perak kuat kuasa Enakmen Hotel Perak 2023 bermula 1 Julai 2024 bagi meningkatkan kualiti hotel dan tempat bermalam serta mengawal isu keselamatan, kebersihan dan kacau ganggu yang sering menjadi kerisauan pengunjung.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Puan Sandrea Ng Shy Ching ketika sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

“Enakmen Hotel Perak 2023 yang diluluskan oleh Dewan Negeri Perak pada 23 Mei 2023 telah diwartakan pada 20 Julai 2023. Kini, kaedah pelaksanaan Enakmen ini telah diperincikan dalam Peraturan Hotel Perak yang telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak untuk dikuat kuasakan.

“Enakmen Hotel Perak 2023 bersama dengan Peraturan Hotel Perak 2024 ini mampu menambah baik tata kelola pengurusan hotel dan tempat-tempat penginapan di negeri Perak, meningkatkan amalan keselamatan awam di samping kesedaran kesihatan persekitaran di kalangan pemain industri pelancongan di negeri Perak,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pemain industri yang merupakan pengusaha hotel, motel, rumah tumpangan, rumah tetamu, rumah bot, tapak perkhemahan, homestay, AirBnB atau kenderaan yang digunakan sebagai tempat penginapan dikehendaki untuk memohon lesen dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di daerah masing-masing.

“Pihak kerajaan telah bersetuju untuk memberikan tempoh pemutihan selama setahun bermula 1 Julai 2024 sehingga 30 Jun 2025. Dalam tempoh ini, PBT akan memberikan bimbingan kepada pengusaha untuk memahami dan melaksanakan penambah baikan atau tindakan pembetulan untuk memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Setiap permohonan lesen hotel perlu mendapat ulasan keselamatan daripada jabatan dan agensi teknikal yang berkaitan antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral dan Galian, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk dipertimbangkan oleh PBT bagi kelulusan perlesenan.

“Kerajaan akan turut melaksanakan Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) sebanyak RM3 untuk setiap bilik/setiap malam bermula 1 Januari 2025 bagi memperbaiki mutu perkhidmatan tempatan di tempat-tempat pelancongan di negeri ini,” katanya.

Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Encik Loh Sze Yee; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah binti Sipun; Bendahari Negeri, Encik Megat Amirul Zaini Jamalullail bin Megat Jamaluddin; Timbalan Pengarah Kanan (Kerajaan Tempatan), Puan Mufidah binti Mahfodz dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Management Berhad, Cik Nurmalis binti Musa.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Rabu 14 Mei 2025, 00:57:00.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.