DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Rasmi SBPI Gopeng.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan ketika menandatangani plak perasmian SBPI Gopeng.
GOPENG, 27 Jun 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gopeng, di sini.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Ketibaan baginda pada jam 11.00 pagi itu telah disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin serta YB Menteri Pendidikan Puan Fadhlina binti Sidek.
Hadir sama, YTM Raja Kecil Tengah Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Iskandar bin Raja Ziran @ Raja Zaid; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; Yang DiPertua Dewan Negeri, YB Dato' Mohd Zahir bin Abdul Khalid dan isteri, YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah; YB Timbalan Menteri Pendidikan, Tuan Wong Kah Woh; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Majlis tersebut telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak diikuti dengan bacaan ayat suci al-Quran, doa dan sembah ucapan dari YB Fadhlina binti Sidek sebelum baginda menyempurnakan lafaz perasmian serta menandatangani plak.
Usai majlis perasmian itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, berkenan meluangkan masa melawat pameran yang disediakan oleh para pelajar serta bergambar bersama barisan pentadbiran dan guru-guru SBPI Gopeng sebelum berangkat pulang.
Dalam perkembangan sama, SBPI Gopeng merupakan satu daripada 14 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) yang telah dinaik taraf sebagai SBPI.
Terletak di Daerah Kampar, SBPI Gopeng telah memulakan operasi pada Januari 2003 dengan kos pembinaan RM30.4 juta, kini menempatkan seramai 590 orang pelajar.
Sumber : Korporat, SUK Perak.