Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Pelancaran Buku Globalization Perak’s Rise, Relative Decline And Regeneration.

Baginda berkenan menyampaikan buku tersebut kepada Ketua Pusat Pengajian Kemanusiaan dan Sains Sosial, Universiti Cambridge, Profesor Tim Harper sebagai simbolik perasmian.

KUALA LUMPUR, 6 Julai 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Pelancaran Buku Globalization Perak’s Rise, Relative Decline and Regeneration di Hotel St. Regis, di sini.

Turut berkenan berangkat, putera dan puteri baginda, YTM Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Azlan Muzaffar Shah ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan YTM Raja Dato' Seri Nazira Safya binti Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YB Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Dato' Mohamad Zahir bin Abdul Khalid; YB Menteri Komunikasi dan Digital, Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin dan YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Turut hadir, YBhg. Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja Dato' Ab Wahab bin Dato' Seri Azizul Hassan, Orang Besar Jajahan Kinta; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini.

Buku ketiga hasil nukilan baginda itu, menegaskan beberapa keutamaan seperti mempromosi pengagihan pendapatan yang adil, menghentikan aliran keluar pekerja berbakat dan mewujudkan pekerjaan yang lebih bernilai tinggi.

Baginda berharap Perak dapat memandang ke hadapan untuk kemakmuran yang berpanjangan.

Titah baginda lagi, dengan mengambil perspektif jangka panjang, baginda merasakan bahawa pandangan lebih mendalam dapat diperoleh mengenai situasi semasa Perak dan pelbagai cabaran yang bakal dihadapi, terutamanya dalam tempoh ketidaktentuan global yang semakin memuncak ini.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.